Skip to main content
Berita TempatanSabah

?Semangat Ibu Muda Sertai E-Usahawan

By 26 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh:?Muhammad Khairul Azad Yunus (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Sept (Malaysiaktif) –Terpancar kegigihan seorang ibu muda untuk mengubah masa depan keluarga apabila menghadiri bengkel e-usahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sambil membawa bersama dua orang anaknya yang masih kecil.

Mylene Mariot, 21, dari Putatan berkata seawal 6.00 pagi, dia bersama dua anaknya Khayla Damia, 3, dan Danish Aiman, empat bulan, bersiap dari rumah untuk menghadiri bengkel yang diadakan di Sabah Trade Centre, Kota Kinabalu bersempena Karnival Kempen #YouCanDuit Negeri Sabah pada 24 dan 25 September lalu.

Menurutnya, kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh pihak penganjur sedikit sebanyak memudahkan pergerakan mereka tiga beranak untuk pergi dan balik dari Putatan ke tempat bengkel diadakan.

image

Antara Ibu muda yang hadir

“Sebagai suri rumah, saya ambil peluang ini untuk belajar menambah pendapatan walaupun hanya dilakukan dari rumah.

“Saya akan mencari satu produk yang boleh saya hasilkan sendiri di rumah dan pasarkannya secara dalam talian,” jelasnya.

“Memang agak susah sedikit untuk membawa bersama dua anak yang masih kecil, tetapi saya sudah nekad untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang diberi secara percuma ini.

“Saya mahu ambil peluang keemasan ini untuk berdikari membina kerjaya sendiri memandangkan suami juga tiada halangan untuk saya berniaga dari rumah,” kongsinya.

Mylene turut memuji usaha yang dilakukan MDEC kerana bengkel e-usahawan dan e-rezeki amat dekat dengan cita rasa golongan belia terutama bagi yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan untuk menambah pendapatan.

Karnival YouCanDuit

Karnival YouCanDuit yang berlangsung semalam

Kota Kinabalu merupakan lokasi kelima #YouCanDuit selepas pelancarannya di Kuching, Sarawak diikuti Terengganu, Johor dan Kuantan.

Kempen tersebut dibahagikan kepada dua program teras iaitu e-usahawan dan e-rezeki yang bertujuan membuka laluan dan melatih isi rumah berpendapatan rendah agar dapat meraih pendapatan melalui alam digital.

Majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak, Pengerusi MDEC, Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

SF

Tinggalkan komen anda