Oleh: ?Mohamad Khairul Azad Yunus & Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)
KOTA KINABALU, 26 Sept (Malaysiaktif) – Program #YouCanDuit hasil inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyediakan peluang perniagaan, menjana pendapatan serta melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.
Peserta e-usahawan Tan Kim Yen, 30, dari Tawau berkata jualan mi organiknya kini memasuki pasaran Sarawak dan Semenanjung Malaysia semenjak mengikuti kursus e-usahawan pada Mei tahun ini.
“Sejak saya pasarkan mi organik saya secara dalam talian, pendapatan saya meningkat sebanyak 180% hanya dalam masa tiga bulan.
“Saya tidak pernah terfikir produk mi organik yang hanya berlegar di pasaran Tawau sebelum ini boleh memasuki pasaran semenanjung Malaysia sekali gus dapat menggalakkan rakyat Malaysia menikmati mi yang diproses tanpa sebarang bahan pewarna dan pengawet,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang pengusaha butik pengantin, Sitti Aisah Irawan, 31, dari Sandakan, dia kini sudah mula menerima tempahan mengandam pengantin dari luar Sandakan.
“Saya mula mengikuti kursus e-usahawan sejak awal tahun ini dan kini saya berbangga kerana mempunyai “page” butik sendiri di samping mempunyai ‘follower’ (pengikut) yang kian bertambah.
“Saya sarankan kepada masyarakat terutama golongan muda untuk rebut peluang yang sangat berharga seperti e-usahawan untuk membina kerjaya dalam perniagaan tambahan pula segala latihan diberi secara percuma,” kongsinya dengan penuh semangat.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, program itu tepat pada masanya dalam membuka peluang perniagaan khususnya dalam konteks e-usahawan seiring dengan dasar Kerajaan Negeri melahirkan golongan usahawan untuk memacu pembangunan ekonomi negeri.
“Kita yakin bahawa di samping memacu pertumbuhan ekonomi negeri, program ini memberikan sumbangan signifikan kepada peningkatan sosioekonomi rakyat.
“Saya dimaklumkan sudah ramai rakyat dari Sabah yang telah mencapai kejayaan melalui program e-usahawan dan e-rezeki.
“Saya menyarankan agar lebih ramai lagi rakyat menceburkan diri dalam bidang e-usahawan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan taraf kehidupan serta menjadikan kita lebih berdaya saing,” katanya semasa melancarkan Karnival Kempen #You Can Duit Negeri Sabah, di Pusat Perniagaan Sabah (STC) dekat Likas, petang Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah.
Dalam pada itu, Pengerusi MDEC, Tan Sri Sidek Hassan berkata, kempen #YouCanDuit menyasarkan golongan B40, pelajar-pelajar T-VET, warga belia serta para suri rumah tangga untuk menambahkan pendapatan dan memperkukuh ekonomi masing-masing.
“Program perintis e-usahawan 2015 telah menyalurkan latihan kepada kepada lebih 400 pensyarah sebagai pelatih induk dan lebih 6000 pelajar, 42 peratus daripada mereka berjaya menjana pendapatan keseluruhan hampir RM2 juta dalam masa 6 bulan sahaja.
“Sejak awal tahun ini hingga 31 Ogos, lebih 20 ribu pelajar T-VET dan usahawan mikro telah menjana hasil jualan sebanyak RM14.3 juta,” jelasnya.
Tambahnya, seramai 45 ribu peserta dijangka mengikuti kursus dengan sasaran hasil jualan terkumpul sebanyak RM21 juta menjelang akhir tahun ini.
–SF