Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanViral

14 Keluarga Hiba Menjelang Aidiladha

By 9 September 2016September 10th, 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan dan foto oleh Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Pasir Mas)

PASIR MAS, 9 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 51 orang penghuni rumah melibatkan 14 keluarga di Pekan Rantau Panjang, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran 4.30 pagi tadi.

51 ahli keluarga kehilangan tempat berteduh

51 ahli keluarga kehilangan tempat berteduh

 

Menurut Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adenan Ibrahim, dalam kejadian tersebut kesemua mangsa dapat menyelamatkan diri dan tidak ada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pukul 4.45 pagi dan 25 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Rantau Panjang bergegas ke tempat kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

“Namun, sebaik sahaja anggota kami sampai didapati 80 peratus rumah sudah terbakar dan bomba berjaya mengawal api dalam masa 45 minit,” ujarnya kepada Malaysiaaktif.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Manakala suasana pilu menyelubungi mangsa-mangsa kebakaran terutamanya menjelang Aidiladha yang akan disambut Isnin ini.

Menurut seorang mangsa yang ditemui, Kamariah Din, beliau tersedar apabila bunyi bising dari rumah jiran sebelah dan terkejut apabila melihat api marak dengan cepat.

“Tanpa berfikir panjang saya mengejutkan ahli keluarga supaya menyelamat diri tanpa sempat mengambil apa-apa barang berharga.

“Namun, saya bersyukur kerana tidak ada kecederaan yang dialami oleh ahli keluarga,” ujarnya yang penuh sebak.

Menurut beliau lagi, kesemua barangan dan pakaian termasuk persiapan untuk Hari Raya Aidiladha tidak dapat diselamatkan kerana semuanya musnah dalam sekelip mata.

Seorang lagi mangsa, Norma Ali, berkongsi detik cemas mengenai kejadian kebakaran tersebut.

Perasaan hiba yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata namun redha dengan ketentuannya - Norma Ali

Perasaan hiba yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata namun redha dengan ketentuannya – Norma Ali

 

Menurut Norma, “saya hanya sempat menyelamatkan diri dan ahli keluarga sahaja, manakala dokumen-dokumen penting termasuk kad pengenalan tidak dapat diselamatkan kerana semuanya berlaku dengan cepat,” katanya dengan linangan air mata dan wajah yang sedih.

Buat sementara waktu semua mangsa terpaksa menumpang di rumah jiran dan keluarga terdekat.

 

-SH

Tinggalkan komen anda