Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Tun Taib ‘Payung’ Keharmonian Sarawak-Adenan

By 10 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad
 MIRI, 10 Sept (Malaysiaaktif)-
“Tun ialah payung keharmonian dan kemakmuran Negeri Sarawak dan kehadiran Tun sudah pasti akan menyemarakkan lagi semangat rakyat negeri ini untuk sama-sama berganding bahu memelihara kesejahteraan dan membangunkan Bumi Kenyalang ini.”

Demikian kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, pagi tadi sempena sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-80 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bertempat di Stadium Miri.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan ketika Tun memegang tampuk kepimpinan sebagai ketua Menteri, Tun telah memperkenalkan konsep Politik Pembangunan agar tenaga dan sumber rakyat Sarawak dapat digemblengkan untuk memajukan negeri ini.

image

“Kestabilan politik dan sosial negeri Sarawak telah menjadi agenda utama Tun dan Sarawak telah melangkah ke era industrialisasi dengan terlaksananya program SCORE yang diperkenalkan oleh Tun,” jelas beliau.

Namun begitu katanya, ekonomi Sarawak hendaklah berkembang dengan lebih cepat untuk mmencapai status negeri maju menjelang 2030 dan purata pertumbuhan pada kadar 4% beberapa tahun kebelakangan ini tidak mencukupi untuk meletakkan Sarawak pada status negeri maju dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Untuk mencapai cita-cita kita menjadi sebuah ekonomi berasaskan industri, pelaburan asing dalam jumlah yang besar amat diperlukan,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan pada tahun lepas sehingga Mac tahun ini Sarawak berjaya menarik sebanyak RM13.6 billion.

“Kita berazam untuk menarik lebih ramai pelabur luar negara terutamanya dari China untuk menubuhkan industri supaya boleh memproses bahan mentah kita di kawasan perindustrian Samalaju, Tanjung Manis, Mukah dan Kuching,” jelasnya.

image

Beliau berharap agar Kerajaan Negeri memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan usahawan dengan menyediakan program latihan dan bantuan-bantuan lain supaya industri kecil dan sederhana terus berkembang.

“Tujuan kita adalah untuk memastikan Sarawak mampu mengejar pembangunan di Semenanjung dan Perdana Menteri sudah bercakap tentang kereta api laju ke Singapura tetapi Sarawak belum lagi ada jalan raya yang boleh diiktiraf sebagai lebuh raya,” tambahnya.

“Pembangunan yang tidak seimbang antara Semenanjung dan Sarawak atau Sabah bukanlah sesuatu yang sihat untuk kesejahteraan Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri sudah bersetuju dengan 13 perkara yang memberi kuasa pentadbiran kepada Sarawak dan PETRONAS pun sudah bersetuju dengan tujuh perkara yang diminta oleh Sarawak. Rundingan akan terus diadakan agar hak-hak Sarawak seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia Agreement 1963, Akta Malaysia, IGC dan Cobbold Commission reports dapat dikembalikan.

“Kita mahu ada wakil Sarawak dalam Lembaga Pengarah Petronas, keutamaan kepada anak Sarawak untul bekerja dengan PETRONAS bagi operasinya di Sarawak dan PETRONAS menyokong program industri petrokimia di Sarawak supaya industri hiliran minyak dan gas Sarawak boleh berkembang dan rundingan akan terus diadakan termasuk isu royalti,” jelasnya lagi.

SF

Tinggalkan komen anda