Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

120 Kakitangan Prasarana Ikuti Kursus Bahasa Mandarin

By 13 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Sazaki Abdul Rahman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Malaysiaaktif)  –  Seramai 120 orang kakitangan Prasarana akan mengikuti Kursus Bahasa Mandarin Asas HAN yang akan dijalankan di Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Kota Damansara melalui program yang melibatkan empat kemasukan setahun mulai bulan ini.

Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Pusat Kebudayaan Han hari ini bagi meningkatkan keupayaan kakitangan dalam penguasaan Bahasa Mandarin.

“Inisiatif ini diperkenalkan berikutan keperluan kakitangan untuk berinteraksi dengan pelanggan terutamanya dari Republik Rakyat China”, demikian jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz dalam sidang media MoU ‘Program Pembelajaran Bahasa Mandarin Untuk Staf’ bertempat di Prasarana, Menara UOA Bangsar, di sini hari ini.

“Penguasaan bahasa Mandarin membolehkan mekanik di bahagian penyelenggaraan berkomunikasi dengan lebih baik dengan rakan-rakan sekerja mereka dari China selaras dengan aspirasi Prasarana untuk mengembangkan sayap di pentas antarabangsa”, tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Pusat Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San berkata, “Kursus ini menerapkan kebolehan berinteraksi, menambah penguasaan bahasa untuk keyakinan diri, latihan kepakaran dalam jawatan bagi meningkatkan kualiti bakat pengurusan.”

Antara projek-projek yang melibatkan syarikat dari negara China adalah pembelian tren enam gerabak ‘AMY’ untuk Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Sri Petaling–Ampang dan bas mesra alam untuk projek Bas Rapid Transit bagi laluan Sunway yang dibeli dari BYD Auto Industry Company Limited.

Selain itu, Rapid Rail Sdn. Bhd. yang mengendalikan operasi tren Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) turut mempunyai kerjasama industri dengan China Railways Rolling Stock Corporation di Hunan, China.

Perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Mekah juga menggunakan tren-tren buatan China yang mana alat ganti perlu diperoleh dari China.

Memorandum berkenaan dimeterai oleh Presiden Pusat Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San dan Ketua Modal Insan Prasarana, Haji Abdul Mutalib Manaf, disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz.

-DK

Tinggalkan komen anda