Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Perhimpunan Bersih 5.0 Dinasihat Patuhi APA

By 30 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan belum menerima sebarang notis berkaitan Perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadual diadakan pada 19 November ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata setakat semalam pihaknya belum menerima sebarang makluman berkaitan permohonan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

“Saya dah berbuih cakap pasal ini. Peruntukan undang-undang belum lagi mereka patuhi, jadi nasihat saya, patuhilah peruntukan Akta Perhimpunan Awam (APA) itu. Kenapa susah sangat ya?” soal Khalid.

Kata Khalid, peruntukan undang-undang itu memerlukan notis dikemukakan 10 hari sebelum perhimpunan dibuat.

“Mereka nak buat roadshow sana sini, tapi undang-undang tidak mahu patuh. Roadshow itu memerlukan mereka mematuhi undang-undang APA. Jangan ikut suka sahaja pergi tengah jalan halang lalu lintas, sekat kenderaan daripada bergerak dan sebagainya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2016 di Hotel Ramada, di sini pada Jumaat.

Tambahnya lagi, selepas notis dihantar, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi yang ingin digunakan. Sekiranya berjaya mendapat kebenaran, pihak polis bersedia memberi bantuan fasiliti.

“Jika pemilik tidak berikan kebenaran, boleh cari tempat lain. Banyak lagi tempat yang boleh buat perhimpunan. Tidak semestinya di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini jika membuat sebarang perhimpunan, mereka akan menghantar notis tetapi kebanyakan program yang dibuat, pihak PDRM tidak pernah menerima sebarang notis.

“Mereka sengaja tidak patuhi peruntukan APA. Dia (penganjur Bersih) suka kalau kita guna Federal Reserve Unit (FRU), bawa water cannon, jadi tarikan kepada dunia bahawa penguat kuasa di Malaysia menyekat mereka daripada kebebasan bersuara, berhimpun dan sebagainya.

“Walau apapun yang ingin dilakukan, Malaysia ada undang-undang dan semua orang wajib patuhi undang-undang tersebut,” tegas Khalid.

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda