Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

D’Tebing Recharge Rider Perkukuh Sokongan Komuniti Pekerja Gig

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)/DBKL 

KUALA LUMPUR, 18 Jun (MalaysiaAktif) – D’Tebing Recharge Rider diperkenalkan sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur, sebuah ruang khusus untuk berehat dan mendapatkan kemudahan asas bagi memperkukuh kebajikan, kesejahteraan serta sokongan sosial kepada komuniti pekerja gig di ibu negara.

Inisiatif ini melambangkan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider (penghantar) yang sentiasa berkhidmat di lapangan tanpa mengira cuaca dan waktu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ketika merasmikan hab tersebut, di sini kelmarin, menegaskan kepentingan ekosistem bandar yang inklusif untuk semua lapisan pekerja.

Recharge Rider sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur yang memberi keselesaan kepada komuniti rider untuk berehat, bersantai dan mengecas semula tenaga ketika bertugas.

“Pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal tetapi juga memastikan golongan yang menyumbang kepada kelancaran kehidupan harian warga kota turut menikmati kemudahan yang selesa, selamat dan bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.

Projek perintis ini menyediakan dua unit ruang rehat berbumbung dan surau yang beroperasi 24 jam, manakala stesen pengecas peranti dibuka dari 8 pagi hingga 11 malam.

Bagi meringankan beban ekonomi penghantar makanan dan barangan, hab ini terletak berdekatan premis makanan yang menyediakan Menu Rahmah serendah RM5.

DBKL turut komited menambah baik fasiliti ini dengan pemasangan kipas, lampu, dan palam kuasa tambahan berdasarkan maklum balas semasa.

-RI

Tinggalkan komen anda