Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Jalan Rosak Sungai Sumun 2 Undang Bahaya

By 18 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Fatkhulmoin Robiki (Hilir Perak)

BAGAN DATOH, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Penduduk di sekitar kawasan Sungai Sumun 2 yang melibatkan beberapa kampung di sini meluahkan rasa bimbang apabila kebanyakan jalan di kawasan tersebut berlubang dan tidak rata.

Tinjauan Malaysiaaktif mendapati jalan di Kampung Parit Dua dan Kampung Parit 4, Sungai Sumun, di sini mengalami kerosakan di kawasan pinggirnya serta berlubang-lubang dan tidak rata sehingga menjadi kerisauan kepada pengguna jalan tersebut.

Menurut penduduk di kawasan itu, Ahmad Aziz, 47, permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna tetapi juga boleh membawa kepada kerosakan kenderaan dan menyebabkan kemalangan.

jalan-rosak-undang-bahaya-pic-2

Lubang yang semakin lama membesar mengundang bahaya buat pengguna jalan ini terutamanya di waktu malam.

 

“Lubang yang pada mulanya kecil boleh menjadi besar dalam masa yang singkat sahaja dan ini perlu dibaiki sebelum perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk tempatan, Fathurasidin Mohd Hafez, 42, berkata antara yang paling berisiko ialah penunggang motosikal kerana kadang kala mereka tidak sempat mengelak dan menyebabkan mereka jatuh dari motosikal.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Sumun 2, Baharom Saari berkata pihaknya telah mengadu masalah ini kepada pihak berkaitan.

“Sebelum ini, jalan tersebut telah dibaiki, namun ia rosak balik. Saya sudah mengajukan masalah ini kepada pihak yang berkaitan dan harap Bajet 2017 nanti akan memberikan sesuatu khabar gembira buat penduduk kampung dan dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Baharom.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda