Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Keadaan ekonomi dan projek pembangunan yang pesat di Malaysia mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan yang dimanfaatkan oleh warga tempatan dan juga pekerja asing.
Namun, kehadiran pekerja asing di negara ini adakalanya tidak disenangi penduduk tempatan ditambah lagi pelbagai kes jenayah yang berlaku membabitkan warga asing selain penyakit berjangkit bawaan mereka.
Melaka juga tidak lari dari isu warga asing dari Bangladesh, Nepal dan juga Myanmar yang memenuhi kawasan-kawasan industri di sini seperti di Jasin dan Ayer Keroh.
Namun begitu, masalah timbul apabila majikan menempatkan mereka untuk mendiami kawasan-kawasan perumahan yang dikongsi bersama dengan penduduk tempatan hingga menimbulkan rasa kurang selesa.
Itu permasalahan yang telah lama berlaku di kawasan Rumah Pangsa Melor dan Murni yang terletak di Ayer Keroh, di sini. Warga asing akan memenuhi kawasan perumahan ini bermula waktu petang hingga malam.
Menurut Khairool Musaiyar Musa, 29, yang tinggal berhampiran rumah pangsa terbabit, dia selalu membawa dua orang anaknya yang berusia empat dan lima tahun untuk beriadah di taman permainan di situ.
“Apa yang kurang menyenangkan, taman permainan tersebut dipenuhi warga asing yang melepak sambil merokok walaupun sudah jelas terdapat papan tanda yang melarang warga asing untuk berada di persekitaran taman,” katanya.
Katanya, bukan setakat merokok, ada juga yang mengambil minuman keras dan membuang sampah merata-rata serta berperangai buruk seperti meludah.
Tinjauan Malaysiaaktif ke kawasan rumah pangsa tersebut mendapati terdapat sebuah kedai runcit di bawah rumah pangsa tersebut yang menjual minuman keras dengan harga serendah RM10 sebotol.
Kata Khairool, dia melihat sendiri mereka membeli minuman keras di kedai runcit itu, dan nampaknya keadaan akan menjadi tidak terkawal kerana sumber bekalan mudah diperoleh.
“Anak saya turut mengadu pada saya yang salah seorang warga asing itu turut mengambil gambar anak saya. Kalau saya tahu, pasti saya rampas telefon bimbit mereka,” katanya yang telah empat tahun tinggal di taman berhampiran.
Menurutnya juga, penduduk rumah pangsa tidak berani hendak keluar rumah ketika mereka bersantai dan ini menyebabkan keadaan taman tersebut tidak meriah dan sunyi tidak seperti sebelum ini.
“Saya mencadangkan agar penguatkuasaan imigresen ke atas warga asing lebih diperhebatkan dan papan tanda juga perlu ditambah dan ditulis dalam pelbagai bahasa.
“Aktiviti gotong-royong penduduk yang melibatkan semua penduduk juga perlu dipergiat dan yang paling penting penguatkuasaan larangan menjual arak kepada warga asing perlu dilakukan,” tegas Khairool.
Menurut salah seorang lagi penduduk sekitar yang tidak ingin dikenali, dia terpaksa berpindah daripada rumah pangsa berkenaan kerana tidak betah berkongsi satu bangunan dengan warga asing.
“Pakcik bukan racist (bersifat perkauman) tapi ketika mereka mendiami rumah di tingkat atas dahulu, mereka sering bergaduh sesama mereka dan berbuat bising kerana mabuk, anak pakcik tidak dapat menahan sabar dan terpaksa ‘mengajar’ mereka,” katanya.
Harapannya, tindakan awal perlu diambil untuk menyelesaikan masalah yang telah lama dihadapi oleh penduduk awal rumah pangsa tersebut kerana apa yang utama adalah keselamatan anak-anak jika suatu masa nanti keadaan benar-benar tidak dapat dikawal.
Sementara itu, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Ismail Othman ketika dihubungi mengakui kewujudan papan tanda yang diletakkan di kawasan taman permainan tersebut namun agak sukar untuk mengawal warga asing bersantai di sana kerana kawasan tersebut merupakan tempat awam.
“Saya turut mengajukan masalah ini kepada pengerusi rumah pangsa dan beliau turut akui kesukaran untuk mengawal kelakuan warga asing tersebut kerana kawasan taman itu tidak berpagar.
“Setakat ini, tidak ada kekacauan yang berlaku kecuali jika mereka dalam keadaan mabuk, penduduk rumah pangsa terbabit terpaksa menghubungi polis. Pihak polis pun sering membuat rondaan di kawasan itu tetapi dalam keadaan yang kebetulan tenang dan terkawal, jadi polis pun tidak perlu mengambil apa-apa tindakan,” jelasnya.
Tambah Ismail, cadangan untuk mengasingkan warga asing di tempat yang khusus untuk mereka pernah diusulkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Ayer Keroh tetapi kini hampir 10 tahun masih tiada tindakan yang diambil.
“Minit mesyuarat tersebut dipanjangkan ke Unit Pemantauan, Jabatan Ketua Menteri dan hingga kini kita masih menunggu maklum balas daripada mereka,” kata Ismail lagi.
Sebelum ini, mereka juga pernah membuat aduan mengenai minuman keras yang dijual oleh kedai runcit yang terletak di bawah rumah pangsa itu, namun itu merupakan di luar bidang kuasa JKK dan hanya pihak Jabatan Kastam yang boleh membuat tindakan.
“Sebenarnya tidak semua jahat, ada juga yang baik seperti warga Bangladesh yang setiap hari berjemaah bersama-sama penduduk tempatan di surau. Biasanya, yang membuat masalah adalah warga Nepal,” katanya.
-DZ