Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Anak Kapal MT Doha Jatuh Laut Ditemui

By 31 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

ALOR GAJAH, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Mayat seorang anak kapal MT Doha warga Jepun yang dilaporkan terjatuh di perairan Selat Melaka pada 23 Oktober, ketika sedang dalam pelayaran dari Yokohama, Jepun ke Ras Laffan, Qatar ditemui, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi), Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim, Saiful Lizan Ibrahim berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima aduan dari Feri Pelican memaklumkan menemui mayat lelaki berusia 56 tahun itu terapung di lokasi tersebut lebih kurang lima batu nautika dari Sungai Ayam, Batu Pahat.

Menurutnya, sebuah bot dari Pangkalan Maritim Batu Pahat telah digerakkan ke lokasi tersebut dan mayat yang masih lengkap berpakaian berwarna hijau itu dibawa ke Jeti Pengkalan Maritim sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi telah dilaksanakan selama lapan hari bermula 23 Oktober lepas meliputi keluasan pencarian hampir 450 batu nautika per segi. Dianggarkan 50 orang pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini,” katanya ketika sidang media di Pejabat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan DM5, Kuala Linggi tadi.

Katanya, lokasi mangsa dijumpai lebih kurang 52 batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan jatuh dan mereka masih menunggu laporan post-mortem dari Hospital Batu Pahat. Pengesahan mayat dari wakil syarikat atau ahli keluarga akan tiba di Malaysia esok bagi tujuan pengecaman.

“Kita yakin mayat itu merupakan kru kapal terbabit berdasarkan pakaian mangsa yang tertulis NYK SM HK selain pengesahan agen dari kapal tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful turut menasihati semua komuniti maritim supaya menjaga keselamatan dan mematuhi segala peraturan kelautan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda