Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

MERCY Malaysia Anjur Siri Syarahan Sultan Nazrin Shah Ke 4

By 7 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh : Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Malaysiaaktif) –  Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) akan menganjurkan siri ‘Syarahan Sultan Nazrin Shah Kali Ke 4’  pada 23 November 2016 bertempat di Universiti Sunway.

Program anjuran bersama MERCY Malaysia dan Universiti Sunway ini akan memfokuskan mengenai  ‘Migrasi, Anjakan dan Zaman Krisis Kemanusiaan’ yang akan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa Bagi Pelarian, William Lacy Swing.

“Melalui siri syarahan Sultan Nazrin Shah ini, kami berharap untuk berkongsi pengetahuan dan bertukar idea mengenai isu-isu kemanusian dunia dengan pelbagai pihak bagi tujuan mengukuhkan usaha-usaha kemanusiaan serta memperluaskan skop operasi MERCY Malaysia”.

Demikian kenyataan Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus semasa sidang media di MERCY Malaysia, Jalan Tun Razak, di sini semalam.

Jelas beliau lagi, “Adalah menjadi harapan kami agar program ini akan menjadi platform perdebatan dan pertukaran idea bagi mencari penyelesaian mengenai migrasi dan anjakan global”.

“Ia juga bagi meningkatkan kesedaran awam sama ada dalam kalangan badan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa, badan-badan Kerajaan, pegawai-pegawai kedutaan, rakan korporat dan orang perseorangan berkaitan isu-isu kemanusiaan global,” tambah beliau lagi.

Menurut Pengarah Komunikasi dan Penjenamaan, Sunway Education Group, Patrick McVeigh, “Pihak kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan MERCY Malaysia sebagai satu usaha ke arah meningkatkan pengetahuan generasi muda berkaitan isu-isu global yang dihadapi kini melalui pendidikan yang bukan sahaja melalui akademik”.

“Seterusnya, memberi mereka inspirasi untuk bertindak bagi menjadikan dunia sebagai tempat yang aman untuk didiami”, ujar beliau lagi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),  Global Trend melaporkan pada tahun 2015,  seramai  65.3 juta orang, atau satu  dalam setiap 113 orang di seluruh dunia secara paksa telah berpindah akibat konflik dan penganiayaan.

Jumlah ini juga dilihat semakin meningkat daripada enam orang seminit pada tahun 2005 kepada 24 orang setiap minit pada 2015.

Siri Syarahan akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga sebagai Penaung MERCY Malaysia.

Porgram  yang bermula pada tahun 2012 ini  bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai isu-isu kemanusiaan dan juga inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai badan dan organisasi  untuk matlamat bersama bagi mengurangkan penderitaan manusia.

Penyertaan juga dibuka kepada yang terlibat. Yuran penyertaan adalah mengikut kategori iaitu bagi pelajar atau NGO Tempatan sebanyak RM50, badan Kerajaan RM150, badan  korporat RM250, NGO luar negara RM300, perseorangan RM100 dan sukarelawan MERCY Malaysia  RM50.

Tarikh akhir pendaftaran adalah pada 9 November 2016 dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web di www.mercy.org.

-DK

Tinggalkan komen anda