Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Meraikan ulang tahun ke-50 sebagai pengakap menerbitkan perasaan bangga buat Mohd Sharif Kamardin, 75, atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Long dari Kampung Kandang, di sini.
Pak Long minat berpengakap sejak di sekolah rendah dan mula terlibat secara aktif ketika menjadi guru dan hingga kini, dia masih lagi aktif dengan mengikuti aktiviti-aktiviti pengakap yang dianjurkan termasuk jambori.
“Saya memang minat dengan pengakap sejak di bangku sekolah dan mula menjadi pemimpin pada tahun 1973 ketika saya bertugas selama 17 tahun sebagai guru di Sabah,” katanya.
Pak Long kemudiannya balik mengajar di Melaka dan menjadi Penolong Pesuruhjaya Daerah selama 21 tahun.
“Selepas pencen pada tahun 1999, saya masih meneruskan perjuangan ini sehingga sekarang dan diberi kepercayaan untuk menjawat sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri,” ujarnya bangga ketika ditemui di rumahnya di Ayer Keroh semalam.
Sebagai bukti betapa mendalam minatnya terhadap pengakap, Pak Long mempunyai koleksi peribadi ratusan lencana pengakap, lebih 100 sijil penghargaan dan penyertaan, selain baju-T pengakap yang dikumpul setiap kali perkhemahan dan lebih 100 skarf jambori.
“Orang beranggapan saya melakukan sesuatu yang tidak berfaedah, tetapi saya tidak kisah dan saya simpan semua sebagai kenang-kenangan sebab bukan mudah untuk mendapatkan semua itu,” ujarnya.
Menurutnya, pengakap ini sudah menjadi separuh dari jiwanya dan dia memasuki pengakap bukan semata-mata untuk mengumpul lencana atau sebagainya tetapi kerana pengakap dapat membentuk disiplin seseorang.
“Ahli pengakap juga dituntut untuk mengasihi binatang, patuh kepada perintah ibu bapa dan pemimpin, serta sabar dalam apa jua situasi,” tambahnya lagi.
Sepanjang penglibatannya, Pak Long kini boleh berbangga dengan penyertaannya dalam persatuan itu mendapat penghargaan pengakap Malaysia apabila menerima lebih lima pingat iaitu Perkhidmatan Lama, Perkhidmatan Baik, Anugerah Presiden, Jasa Pengakap dan, terbaharu, pingat khas Pengakap 100 Tahun Selangor.
Malah, dengan usianya yang lanjut dia berjaya menghabiskan keempat-empat peringkat Manikayu yang membawa gelaran jurulatih antarabangsa.
“Saya berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan. Pingat-pingat yang diterima itu diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada anak muda kini untuk menyertai aktiviti pengakap ini,” ujar Pak Long yang baharu pulang dari menyertai Jamboree Asean Pasific di Terengganu.
Tambahnya, perjalanan dalam aktiviti berpengakap ini sebenarnya tidak mudah, justeru, pengakap melatih seseorang individu untuk sentiasa bersabar.
“Pernah satu ketika dulu dalam tahun 80-an di Sabah, saya menyertai satu perkhemahan yang mencabar apabila perlu melalui jambatan gantung yang terletak berhampiran sebuah kampung di pedalaman.
“Aktiviti berpengakap sudah cukup memberi kepuasan kepada Pak Long. Pak Long amat berharap, generasi muda dapat mengikut aktiviti berpengakap yang antaranya boleh membentuk karakter insaniah terbaik sebagai bekalan sepanjang hayat,” kata Pak Long penuh harapan.
-DZ