Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurSelangorViral

PLUS Tawar Kereta Volkswagen Beetle

By 7 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Noor Sazarina Mohd Noor (Petaling Jaya)

PETALING JAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Sebuah kereta Volkswagen Beetle menjadi rebutan bagi Pertandingan Video Keselamatan Jalan Raya, ‘MUFORS Road Reels’ anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang bermula 7 Oktober sehingga 25 November 2016.

“Kereta bernilai lebih RM 130 ribu tersebut akan diberikan kepada pemenang utama MUFORS Road Reels yang berjaya menghasilkan video keselamatan jalan raya dengan mesej yang kreatif dan berkesan”, kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Haji Abdul Hamid ketika sidang media Majlis Pelancaran Pertandingan Video Pendek PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pagi tadi.

“Pertandingan video pendek yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas ini turut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000 dan RM 8,000 untuk pemenang tempat kedua dan ketiga manakala hadiah saguhati RM 2,000 diberikan kepada pemenang tempat ke-4 hingga ke-10. Selain itu, pemenang Kategori Video Pilihan Ramai akan membawa pulang wang tunai RM 3,000”, ujar beliau lagi.

whatsapp-image-2016-10-07-at-12-54-59

Beliau juga memaklumkan, “Pertandingan video pendek ini merupakan salah satu daripada strategi PLUS mendidik orang ramai tentang keselamatan jalan raya di bawah inisiatif ‘Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya (MUFORS) yang diterajui oleh PLUS sejak 2009 lagi”.

Tambah beliau, “Ini adalah peluang untuk orang ramai untuk sama-sama menyampaikan mesej keselamatan jalan raya menerusi video pendek”.

“Video-video yang memenangi pertandingan ini serta video-video yang sesuai akan digunakan sebagai Pesanan Khidmat Masyarakat PLUS bagi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan di negara ini”, ujar beliau.

“Maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini boleh dilayari melalui laman web www.plusmuforsroadreels.com.my. Orang ramai juga boleh mengundi video pilihan masing-masing di laman web tersebut bermula 5 Disember hingga 19 Disember 2016”, kata beliau.

“Pendekatan yang di ambil oleh PLUS ini dalam membantu meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan video berkenaan keselamatan jalan raya”, kata seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Jais Abdul Razak.

whatsapp-image-2016-10-07-at-12-55-01

Menurut seorang penuntut Universiti Malaya, Aina Aqilah Mahily, “Pertandingan sedemikian perlu lebih kerap dianjurkan kerana mampu menarik minat orang ramai terutamanya generasi muda dalam menghasilkan video-video yang membantu memberi kesedaran berkenaan  pendidikan keselamatan jalan raya”.

Bertemakan ‘Safer Together’ pertandingan ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh PLUS sejak 2010.

Majlis Pelancaran ini juga dihadiri oleh Pengarah Urusan Volkswagen Malaysia, Ali Tapalaga dan Pelumba GP2 negara, Muhammad Nabil Jan Al Jefri yang juga Duta MUFORS serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

-DK

Tinggalkan komen anda