Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

MERHROM Gesa Serangan Ke Atas Rohingya Dihentikan

By 14 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto Oleh :  Mohd Azhar Abu Yazid dan Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Satu memorandum oleh Pengerusi Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani bersama tiga lagi etnik Rohingya diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini semalam.

Memorandum adalah bagi mendesak badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan pemimpin-pemimpin negara ASEAN untuk bertindak menghentikan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya di daerah Maungdaw, Buthidaung Rakhine di  Arakan Myanmar.

Memorandum ini adalah ekoran serangan terbaru pada 11 Oktober lalu oleh tentera Myanmar ke atas daerah berkenaan yang menyebabkan seramai 52 etnik Rohingya telah ditembak mati dan sekurang-kurangnya 100 orang etnik Rohingya cedera.

Zafar Ahmad menjelaskan, “Seramai 150 pelarian Rohingya telah ditangkap dan cedera teruk dan seramai 84 orang etnik Rohingya di Myanmar telah hilang dan lebih kejam lagi tentera Myanmar telah merogol 3 wanita etnik Rohingya di kem mereka”.

Beliau mendakwa walaupun PBB telah mengumumkan etnik Rohingya adalah salah satu etnik paling tertindas di dunia, namun tiada negara-negara berkuasa besar campur tangan dalam masalah ini.

whatsapp-image-2016-10-13-at-20-26

Pengerusi MERHROM, Zafar Ahmad Abdul Ghani

Melalui memorandum tersebut, MERHROM menggesa Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu yang merupakan salah satu badan dalam PBB menghantar misi keamanan bagi membantu etnik Rohingya di Myanmar dan menghentikan pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik tersebut.

MERHROM juga menggesa agar negara-negara anggota PBB memberhentikan segera hubungan ekonomi dengan Myanmar sehingga hak etnik Rohingya dilindungi dan diberi hak sama rata oleh kerajaan Myanmar.

Selain itu, memorandum juga bagi menggesa Kerajaan Myanmar agar membenarkan media antarabangsa memasuki Arakan bagi membuat liputan terhadap apa yang berlaku lebih 60 tahun ke atas umat Islam Rohingya di sana tanpa negara luar mengetahuinya.

Beliau mendakwa serangan berterusan ke atas etnik  Rohingya jelas membuktikan bahawa tentera Myanmar dan perusuh Rakhine adalah perancang utama dalam menghapuskan umat Islam di Myanmar.

Beliau menyeru masyarakat dunia agar membuka mata terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap etnik minoriti Rohingya Islam di Myanmar yang disifatkan beliau sebagai jenayah kemanusiaan terbesar.

Memerondum turut diserahkan kepada Kedutaan Arab Saudi dan Turki.

-DK

Tinggalkan komen anda