Oleh Muniyamma A/P Marapen & Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 9 Okt (Malaysiaktif) – Penggerak dakwah di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Hidayah Centre, Nooraidah Hidayah Dakun, 49, yang berasal dari Tambunan dianugerahkan Tokoh ‘Sayidatina Aisyah’ sempena Sambutan Ma’al Hijrah 1348H 2016.
“Penganugerahan ini menyuntik semangat untuk saya lebih proaktif dalam pergerakan dakwah agar lebih ramai umat Islam mendapat faedah daripada dakwah yang disampaikannya.
“Asalnya saya beragama Kristian, saya memeluk Islam pada usia 30-an dengan rela hati bagi mengukuhkan akidah, ilmu, kefahaman dan penghayatan islam serta menghayatinya seumur hidup,” katanya.
Pada majlis sama Hajah Aisah Zainal, 60, dari Tawau turut menerima Anugerah USIA Bahagian Cemerlang bagi tahun 2016.
Aisah merupakan Ketua Wanita USIA Tawau turut menyatakan cawangannya sangat aktif dan banyak mengadakan program bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Antara program dan aktiviti kebajikan yang dijalankan adalah memberi sumbangan kepada penduduk kampung yang kurang kemampuan, melawat dan menziarahi ahli – ahlinya serta merapatkan hubungan dengan semua agensi kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita Usia Sabah, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun berkata pelancaran Tabung Sayidtina Khadijah telah bermula di peringkat pusat dan bahagian untuk membiayai program-program kebajikan Wanita USIA di seluruh Sabah.
“Saya sangat yakin dan percaya bahawa tabung ini akan berperanan mencapai objektifnya dalam memperbanyakkan lagi program kebajikan Wanita USIA.
“Jumlah ahli Wanita USIA Sabah seramai 9,931 orang dan saya berharap lebih ramai pendakwah yang bijaksana dapat menjadi contoh dan menggunakan kaedah serta teknik berkesan untuk menarik minat generasi muda.
“Anugerah Sayidatina Aisyah dan Anugerah bahagian Wanita USIA cemerlang julung kali diadakan sebagi pengiktirafan dan menghargai perjuangan pertubuhan ini dalam menyemarakan semangat juang dalam dakwah, kebajikan, keusahawanan dan pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan semalam.