Skip to main content
Berita TempatanHomePerakPutrajayaViral

Pendidikan Percuma di KPML

By 9 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

LUMUT, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Kolej Perikanan Malaysia Lumut (KPML) yang mula beroperasi sepenuhnya September lalu membuka ruang dalam melahirkan graduan-graduan dalam bidang keusahawanan dan perikanan sebagai pekerja berkompeten.

KPML mensasarkan 400 pelajar pada pengambilan akan datang

KPML mensasarkan 400 pelajar pada pengambilan akan datang

Lebih mengujakan, kolej yang menyediakan dua bidang utama pengajian ini menyediakan perkhidmatan pendidikan secara percuma tanpa sebarang yuran pengajian dikenakan.

Menurut Pengarah KPML, Sukri Deris, terdapat dua bidang ditawarkan dengan tiga kursus utama.

“Di KPML kami menawarkan bidang Teknologi Perikanan Tangkapan dengan kursus Sijil Operasi Teknologi Perikanan Tangkapan yang memberikan peluang kepada graduan memiliki kemahiran dalam bidang pelayaran dan penangkapan ikan.

“Selain itu kami juga menawarkan kursus Diploma Kemahiran Eksekutif Akuakultur dan Sijil Juruteknik Akuakultur yang terdapat dalam bidang Akuakultur Marin. Tempoh pengajian untuk kedua-dua bidang adalah selama dua tahun,” jelasnya.

Kos pengajian KPML dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Pelatih hanya perlu menanggung yuran pendaftaran sebanyak RM330 dan dipulangkan dalam bentuk premium insurans, baju korporat, dan pelbagai kegunaan pengajian yang lain.

Menurut Sukri lagi, pengambilan pelajar bagi mengikuti program tersebut dibuat pada bulan Januari dan Julai setiap tahun.

“Setakat ini kami mempunyai seramai 84 pelajar dan sasaran kami pada tahun hadapan, seramai 400 pelajar mendaftar di kolej ini.

“Dengan penambahan tiga lagi bidang pengajian iaitu Pemprosesan Produk Perikanan, Hatcheri Akuakultur Marin dan Kejuruteraan Marin, kami berharap lebih ramai yang berminat menjadikan perikanan sebagai pilihan utama melanjutkan pengajian,” jelasnya lagi.

Pelatih turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan RM250 sebulan untuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Manakala elaun bagi Latihan Industri adalah sebanyak RM300 sebulan.

Dengan fasiliti yang serba baharu dan canggih, pelajar bukan sahaja diajar secara teori malah turut diberikan latihan secara amali.

“Kami adalah satu-satunya pusat pengajian di negara ini yang mempunyai alat simulasi pelayaran dan tangkapan. Pelatih dapat merasai situasi sebenar berada di lautan dan bagaimana untuk menaikkan tangkapan,” jelas beliau lagi.

Bagi mereka yang berminat, syarat-syarat kemasukkan serta permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.moa.gov.my/natc atau laman sesawang rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia upu.mohe.gov.my.

-SH

Tinggalkan komen anda