Oleh Marlina Jamarin (Sabah)
MANGGATAL, 9 Okt (Malaysiaktif) – Ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila melihat kehidupan sebuah keluarga daif di Daerah Manggatal yang terpaksa tinggal dalam sebuah khemah di Jalan Sulaman.
Menurut Marjun Abu, 36, yang tiada pekerjaan, sebelum ini mereka sekeluarga menyewa sebuah rumah di Taman Jaya dengan sewa bulanan RM124.
“Tapi disebabkan sukar mendapat pekerjaan, kami sekeluarga terpaksa keluar dari rumah dan tinggal di dalam khemah ini sejak empat bulan lalu.
“Sekarang ini saya hanya bekerja mengutip tin kosong untuk dijual bagi menampung kehidupan kami sekeluarga dan sebulan saya boleh memperoleh sebanyak RM50,” katanya ketika ditemui di khemah berkenaan pada Isnin.
Lokasi khemah yang didirikan di kawasan semak tepi Jalan Sulaman berhampiran Sulaman Central, di sini dilihat amat kotor dengan sampah sarap dan bau busuk longkang berdekatan.
Sementara itu, isteri Marjun, Marlinah Marson, 30, reda dengan kehidupan yang sedang dilaluinya sekarang dan berharap kehidupan mereka akan lebih baik pada masa akan datang.
Marlinah menjelaskan ketika ini dia juga tidak memiliki sebarang pekerjaan kerana terpaksa menjaga tiga orang anaknya yang berumur lingkungan empat bulan hingga lapan tahun.
“Anak saya ada lima orang semuanya, tetapi dua sudah meninggal tinggal tiga orang yang saya jaga sekarang”, ujarnya.
Kehidupan keluarga ini serba daif apabila terpaksa memohon simpati kedai cuci kereta berhampiran untuk mendapatkan air bagi kegunaan minum dan memasak.
Manakala bagi keperluan mandi serta mencuci pakaian mereka akan menggunakan air yang dikumpul daripada takungan air jika hujan di sekitar kediaman mereka.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan Kota Kinabalu, Marlina Jamarin berkata, perkara ini akan dimaklumkan ke Unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat (UPPM) Karambunai.
“Selain UPPM, perkara ini turut akan dimaklumkan ke agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kota Kinabalu bagi mendapat dan tindakan sewajarnya”, katanya ketika melakukan tinjauan pada Isnin.
Bagi Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Sitiameh Hj.Ruman, ketika dihubungi Malaysiaaktif pada Jumaat, pihaknya telah menerima dan mengesahkan kes berkenaan dan telah mengambil beberapa langkah awal penyelesaian kes berkenaan.
“Ketika ini dua orang anak daripada pasangan terbabit akan dijaga oleh nenek mereka manakala dua orang lagi akan dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pihak Jabatan juga menyalurkan tabung bantuan segera sejumlah RM300 dan RM400 bagi bantuan kanak-kanak secara bulanan kepada nenek mereka selaku penjaga kepada dua orang cucu terbabit,” ujarnya.