Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: FB Datuk Ar Ismail Othman
MELAKA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meminta persatuan beca di negeri ini untuk tidak melatah tetapi menyemak terlebih dahulu jika terdengar khabar angin dan pada waktu yang sama tidak mudah terpengaruh.
“Saya ingin tahu dari mana persatuan beca dapat berita mengatakan kerajaan negeri nak tukar beca konvensional kepada beca elektrik? Saya dah semak dan tiada pun perancangan hendak tukar,” jelasnya.
Tambahnya, persatuan beca seharusnya bersyukur kerana kini ramai pelancong datang ke Melaka yang turut diisytihar sebagai negeri yang mempunyai pendapatan per kapita tertinggi.
Idris berkata demikian selepas diminta mengulas isu persatuan beca mengadakan perhimpunan aman semalam di hadapan memorial kemerdekaan, di sini bagi membantah penukaran beca konvensional kepada beca elektrik oleh kerajaan negeri.
“Mereka buat perhimpunan aman, nasib baik tiada apa-apa berlaku. Perkara ini menjejaskan tanggapan pelancong kepada Melaka. Jadi, jangan mudah melatah,” tegas Idris kepada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Bandaraya Asia Mencegah Dadah (ICCE-ASCAD) di Banda Hilir, semalam.
Idris turut mengingatkan kepada persatuan beca agar tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hingga melupakan jasa kerajaan menjaga mereka selama ini.
“Kita tidak pernah ada idea untuk tukar beca. Siapa yang bawa idea itu mungkin mereka ada unsur-unsur sakit hati melihat Melaka sebuah negeri maju dan sentiasa dikunjungi pelancong.
“Saya dah banyak terima berita-berita fitnah ini dan saya harap persatuan beca tidak terpengaruh hingga merosakkan apa yang telah kita usahakan selama ini,” kata Idris.
-DZ