Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Kecoh seketika petang semalam ketika perjumpaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan persatuan beca yang diadakan bagi menjelaskan salah faham yang timbul baru-baru ini.
Ini berikutan satu demonstrasi aman yang diadakan semalam oleh persatuan beca bagi membantah kewujudan beca elektrik di Banda Hilir yang didakwa bakal menjejaskan pendapatan mereka sekiranya beca elektrik diperkenal bagi menggantikan beca konvensional.
Pegawai Khas Datuk Bandar MBMB, Mohd Yusof Abu Hassan memberi jaminan bahawa tiada kelulusan atau pewartaan mengenai perkara itu dan menyatakan bahawa isu itu seharusnya tidak timbul.
“Memang ada syarikat yang mengesyorkan beca elektrik di MBMB, namun itu sekadar berpaksikan teknologi hijau dan ia bukan bermakna mereka minta pihak MBMB menggantikan beca konvensional kepada beca elektrik,” jelasnya.
Mohd Yusof berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 100 pengayuh beca di Melaka di Hotel Seri Costa, di sini.
Tambahnya, tiada kenyataan yang dibuat oleh datuk bandar atau mana-mana proses yang berlaku di MBMB untuk menyatakan beca elektrik akan beroperasi di kawasan bersejarah itu.
“Setakat ini memang tiada, jadi pengayuh beca tidak perlu melatah. Namun, jika ia menuju ke arah itu, kita yakin orang becalah yang pertama kita panggil untuk menerangkan impak dan kesannya kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang pengayuh beca, Amran Hashim, 44, berkata, perjumpaan bersama MBMB ini serba sedikit merungkai kekeliruan pengayuh beca di Melaka selama ini.
“Kita datang ke sini berjumpa sebab nak kepastian sahaja. Tetapi, setelah diberi penjelasan kami lega dan berpuas hati. Kami bukan bangkang kerajaan, kami cuma bantah kewujudan beca elektrik di kawasan kami ini sebab dalam media sosial heboh kata MBMB beri kebenaran syarikat itu beroperasi.
“Malah, kita tak cakap pun kalau perkara itu terjadi, kami semua akan bertukar parti. Apa yang penting, kita minta kerajaan pertahankan beca tradisional, itu sahaja,” katanya.
Jelasnya, mereka hanya inginkan pembelaan, dan sekiranya perjumpaan ini tidak dilakukan, pengayuh beca pasti akan tertanya-tanya. Dia turut berpendapat kemungkinan adanya dalang yang sengaja merosakkan hubungan antara persatuan beca dan kerajaan negeri.
-DZ