Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Barangan kes kegiatan perjudian membabitkan 2,993 unit komputer dianggar bernilai RM2.5 juta dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.
Kesemua barangan kes adalah hasil rampasan sejak tahun 2008 hingga 2016 dan dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner (ACP), Ali Ahmad berkata, “Proses pelupusan dilakukan selepas 167 kes membabitkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 Seksyen (4) diselesaikan”.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan perjudian dan berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Padang Kawad IPD Gombak sebentar tadi.
“Modus operandi pihak terbabit adalah beroperasi di premis-premis kedai, kediaman yang berpagar atau berselindung di sebalik perniagaan lain dan dijalankan secara tersembunyi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa”, tambah beliau.
Beliau menegaskan pihak polis tidak pernah melindungi kegiatan perjudian atas talian dan sekiranya mendapat maklumat, tindakan segera akan diambil seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.
-DK