Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Projek Unity Gardening Drum (UGD) Beri Manfaat

By 1 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Noor Suzilawati Jamaludin (Hulu Langat)

KAJANG, 1 Okt (Malaysiaaktif) –  “Unity Gardening Drum (UGD) adalah kaedah penanaman sayur menggunakan drum berkapasiti 200 liter yang terdapat 45 poket di sekeliling serta tambahan ruang di bahangian atas bagi menanam 5 pokok sayur, manakala untuk drum 30 Liter terdapat 14 poket”

Demikian jelas Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kajang Utama, Ibrahim Martibi ketika berucap di Majlis Pelancaran Pertanian Bandar Kawasan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Selangor 2016 bertempat di Pusat Rukun Tetangga, Taman Kajang Utama pagi tadi.

Projek Unity Gardening Drum (UGD) atau projek tanpa cangkul adalah salah satu inisatif pertanian dalam bandar yang diperkenalkan oleh KRT bagi perumahan sekitar Kajang Utama dan ini merupakan kerjasama antara Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan penduduk setempat dalam membudayakan pertanian secara kecil-kecilan.

“Tempat pemprosesan baja organik serta merta menggunakan bahan-bahan basah dari dapur seperti sayur, kulit telur, lebihan nasi dimana sejenis lalat (black soldier fly) yang hinggap akan menghasilkan larva  dan dari situ akan menghasilkan cecair yang akan terus dijadikan baja”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, “Tanaman yang ditanam mengambil masa sekitar 25 hari untuk dituai hasilnya dan hanya menggunakan keluasan ruang 4×4 kaki.  Hasil bukan untuk jualan tetapi untuk diagihkan kepada penduduk setempat. Pelbagai tanaman dapat ditanam tetapi terhad kepada sayuran kecil. Tanah dan bahan sabut kelapa yang digunakan bagi setiap tong adalah antara 40 hingga 140 kilogram”.

33791e44-00b5-4e36-a3c9-32058864339e

“Tanaman ini tidak menggunakan racun perosak atau bahan kimia dan menggunakan 100 peratus bahan organik dan berkhasiat. Kaedah ini juga mengurangkan tenaga kerja serta secara tidak langsung boleh mempelbagaikan jenis sayuran dan menghijaukan alam sekitar”, kata beliau lagi.

“Projek ini melibatkan 100 Persatuan KRT diseluruh Malaysia tahun ini dan akan digembeleng bersama Jabatan Perpaduan Negara untuk kelancaran projek tersebut” ujar beliau.

Menurut Pengerusi KRT Taman Pandan Mewah, Abdul Haffidz Md. Nor, “Hasil Projek Kebun Komuniti ini sedikit sebanyak membantu masyarakat setempat menggunakan tanah yang sedia ada bagi mendapatkan hasil tanaman serta dapat dikongsi bersama”.

“Saya berharap pada masa akan datang diwujudkan projek atau kebun pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara bagi kawasan yang aktif dalam projek pertanian dalam bandar ini”, ujar beliau lagi.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk L.Gandesan. Penyampaian kit permulaan pertanian kepada 5 KRT yang terlibat turut diadakan.

-DK

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda