Skip to main content
Berita TempatanSabah

Juragan Bot Nelayan Diculik Kini Selamat – Rashid

By 1 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Zuraidah Ahmad & Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 1 Okt (Malaysiaktif) – Juragan bot nelayan, Roslan @ Haji Nasir Sarifin, 39, warga tempatan yang diculik oleh enam orang penjenayah bersenjata di perairan Pulau Gaya dekat Semporna pada Selasa lalu, kini berada di Balai Polis Lahad Datu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun mangsa telah berada di balai berkenaan pada 7.00 pagi tadi dan polis sedang menyemak cerita sebenar semasa kejadian tersebut.

“Sama ada mangsa sudah dibebaskan atau bagaimana, itu kita sedang siasat. Kita difahamkan mangsa ada bersama dengan pihak polis di Balai Polis Lahad Datu.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.

Pada istiadat itu, Rashid dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Terdahulu, Tun Juhar menyeru seluruh rakyat Sabah agar sentiasa memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini supaya generasi hadapan dapat merasai keamanan yang dikecapi.

“Setiap perselisihan perlu dihindarkan dan sekiranya terdapat perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara yang mempunyai kepentingan bersama hendaklah diselesaikan secara sepakat, peribahasa ada menyebut “seikat bagai siri, serumpun bagai serai”, yang mencerminkan konsep perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Tambahnya, untuk membina bangsa Malaysia perlu mempunyai jati diri tinggi, rakyat perlu bersatu, matang berpolitik, bertolak ansur, penyayang dan tidak mudah terjerumus ke dalam fahaman sempit.

“Kita amat bimbang dengan penularan fahaman dan gerakan-gerakan ekstrimis atau aktiviti berkaitan kumpulan pengganas yang mengganggu keharmonian hidup masyarakat di negeri ini.

“Saya menggesa seluruh lapisan masyarakat, termasuk pemimpin masyarakat dan komuniti sentiasa berwaspada dan bersikap proaktif dalam menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa dalam usaha menangani dan mengatasi insiden jenayah yang mengganggu aktiviti harian masyarakat.

“Tanggungjawab keselamatan khususnya di negeri ini tidak terletak pada pasukan keselamatan sahaja tetapi perlu dipikul bersama setiap lapisan masyarakat. Perpaduan kalangan rakyat boleh menjadi benteng menghalang kemasukan unsur negatif tersebut,” katanya ketika menyampaikan perutusan tersebut di Istana Negeri.

SF/AAS

Tinggalkan komen anda