Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

161 Terima Kunci Rumawip Residensi Rampai

By 17 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh  : Edawati Sulaiman @ Hod

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Malaysiaktif) –   Seramai 161 pembeli Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Rampai, Setapak menerima kunci rumah masing-masing di ‘Majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Rampai’ disempurnakan oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tengku Adnan dalam ucapan perasmian berkata “Pembeli RUMAWIP amat bertuah kerana mereka akan menikmati kemudahan bertaraf kondominium seperti kolam renang, gymnasium, taman rekreasi, pusat asuhan kanak-kanak, surau, dewan serbaguna, pondok pengawal dan pakir berbumbung.”

“Pembeli tidak perlu ragu dengan kualiti RUMAWIP yang disiapkan lebih awal kerana pihak pemaju mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memantau,” jelas beliau.

Beliau menyatakan Residensi Rampai merupakan antara projek RUMAWIP terawal yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan diluluskan di bawah Perintah Pembangunan pada tahun 2013 semasa inisiatif Program RUMAWIP mula diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan memulakan pembinaan pada April 2014.

Seorang penerima kunci RUMAWIP, Simran Kaur, 37, yang hadir bersama ibu bapa beliau meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka rumah yang dihadiahkan suaminya kepada beliau siap dalam tempoh yang begitu cepat.

Projek RUMAWIP yang berkeluasan 850 kaki persegi ini dijual pada harga RM299,900.00 seunit dengan kelengkapan 3 bilik tidur dan 2 bilik air berserta 1 pakir kereta berbumbung telah berjaya disiapkan tujuh bulan lebih awal dari jadual oleh Pemaju Pancaran Nilai Sdn Bhd.

Residensi Rampai merupakan projek usahasama DBKL dengan Pancaran Nilai Sdn. Bhd. bagi membangunkan tapak seluas 1.84 ekar dengan 1 blok 21 tingkat yang mempunyai sebanyak 322 unit di mana 161 unit daripadanya adalah kediaman RUMAWIP.

Hasil usaha ini, Kerajaan berjaya menyelesaikan penempatan semula penduduk rumah panjang Setapak Jaya yang sebelum ini menduduki tapak pembangunan tersebut ketika itu.

Di majlis ini seramai 10 orang pembeli telah menerima Replika Kunci dari Menteri Wilayah Persekutuan dengan disaksikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Hj Md Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Tinggalkan komen anda