Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

33 Negara Sertai Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur

By 17 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh   : Mohd. Anuar Ibrahim dan Saharuddin Othman

 

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Penganjuran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur kali kedua akan menampilkan seramai 450 usahawan dari 33 buah negara serata dunia.

Festival yang bertemakan “Kraf Menyatukan Masyarakat” akan berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur selama empat hari bermula 24 hingga 27 November ini.

Antara negara yang turut bersetuju untuk menyertai festival ini seperti Amerika Syarikat, Argentina, Ecuador, Filipina, Hungary, Ghana, Mesir, Nepal dan pelbagai lagi negara lain akan mempamerkan seni kraf masing-masing termasuk seni kebudayaan.

“Festival ini seharusnya dijadikan platform kepada usahawan kraf tempatan dalam berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan berkaitan seni kraf dengan usahawan dari luar negara”.

Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Tan Sri Dr Ong Hong Peng semasa merasmikan Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur, di Kompleks Kraf di sini hari ini.

“Festival Kraf kali ini juga turut mengenengahkan koleksi fabrik dengan kepelbagaian reka corak dan rekaan dari luar negara di mana himpunan koleksi fabrik antarabangsa ini julung kali diadakan khusus kepada peminat tekstil dalam dan luar negara,” ujar beliau lagi.

Sepanjang festival ini berlangsung, Malaysia selaku tuan rumah akan mempersembahkan tarian kebudayaan seperti tarian topeng dari suku kaum Mah Meri serta Dikir Barat manakala Turki, Indonesia, Thailand dan Filipina akan mempersembahkan tarian tradisional masing-masing.

Di samping persembahan kebudayaan, demonstrasi pembuatan produk kraf dari Malaysia seperti tenunan songket Terengganu, tenun Pahang Diraja, tekatan benang emas, dan jahitan sulaman tampal (patchwork) akan turut dipamerkan.

Manakala demonstrasi kraf dari negara luar, pengunjung akan dipamerkan dengan seni kraf pembuatan seramik dari India, perhiasan diri menggunakan bahan organik dari Ecuador, seni lukis dari Iran, pembuatan beg dari Myanmar, pembuatan alatan muzik tradisional dari Kazakhstan serta pelbagai seni kraf dari negara luar.

Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur  yang dihadiri pengamal media ini turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghafar A. Thambi serta Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Sulaiman Othman.

Tinggalkan komen anda