Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

532 Sekolah Diiktiraf Capai Tahap Bestari 5 Bintang

By 17 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh Abdul Raof Othman dan Sazaki Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Sejumlah 532 buah sekolah mencapai tahap bestari 5 bintang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan 2016 semalam.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian menganjurkan  inisiatif tersebut bagi mengiktiraf serta memberi penghargaan kepada murid dan sekolah yang menjayakan program inovasi dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah serta pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah.

“Anugerah ini merupakan komitmen dan galakan KPM ke arah penggunaan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam melahirkan ‘digital citizenship’ berkemahiran berfikir aras tinggi, menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berkomunikasi serta kreatif dan inovatif,” ujar beliau.

Anugerah yang diperkenalkan sejak 2015 itu telah memberikan impak positif di mana sekolah menunjukkan minat dan motivasi yang tinggi dalam melaksanakan aktiviti pembestarian Sekolah di pelbagai peringkat.

Menurut Mahdzir , Laporan Pembestarian Sekolah 2016 berdasarkan ‘Smart School Qualification Standards (SSQS) merekodkan sebanyak 96.1 peratus daripada 10,162 buah sekolah di seluruh negara telah diiktiraf mencapai tahap bestari, iaitu sekurang-kurangnya tiga bintang ke atas.

“Sebanyak 4,298 buah sekolah mencapai tahap bestari 4 bintang manakala sebanyak 4,940 buah sekolah mencapai tahap bestari 3 bintang,” tambah beliau.

Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Pembestarian Sekolah, iaitu Penggunaan Virtual Learning Enviroment (VLE) di bawah projek 1BestariNet, Digital Story Telling Animation, Pemikiran Komputasional, Pusat Sumber Sekolah Cemerlang dan Pencapaian Tahap Bestari.

Program tersebut ditajakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Yayasan Pencinta dan Digi Telecommunicatins Sdn. Bhd. (DIGI).

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda