Laporan dan foto oleh : Norfarhana Mohd Zainal Abidin & Seri Ayu Wardiah Samsudin (Petaling Jaya)
PETALING JAYA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – “Bermula 9 November 2016 pada pukul 12.00 tengahari, sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya akan mula dilaksanakan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) melibatkan Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Plaza Tol Puchong Barat, Plaza Tol Puchong Selatan, Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar”.
Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif LITRAK merangkap Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi ketika sidang media Pengumuman Pelaksanaan Kutipan Tol Elektronik Sepenuhnya (ETC) bagi LDP dan SDE di Ibu Pejabat Kompleks Operasi LITRAK, Bandar Sunway pagi tadi.
“Kesemua 31 lebuhraya yang sedang beroperasi akan menguatkuasakan sistem bayaran tol secara elektronik menjelang tahun 2017 yang melibatkan 2,288 lorong tol di 177 buah plaza tol seluruh negara,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, “Dalam usaha mempromosikan penggunaan tol secara elektronik ini, beberapa insentif bagi pengguna kedua-dua lebuhraya berkenaan telah diperkenalkan”.
“Pihak LDP akan mengedarkan sebanyak 68,000 keping kad Touch ‘n Go secara percuma di mana pengguna perlu membayar nilai kredit RM 5.00, penawaran 5,000 unit Smart Tag dengan harga RM 104.95 seunit termasuk GST dan pemberian rebat sebanyak 10% kepada kenderaan Kelas 1 selama dua bulan bermula dari 9 November 2016 sehingga 31 Disember 2016 yang boleh mula ditebus pada 1 Januari 2017 sehingga 30 April 2017,” kata beliau lagi.
“Manakala pihak SDE pula akan mengedarkan sebanyak 8,000 keping kad Touch ‘n Go secara percuma di mana pengguna perlu membayar nilai kredit RM 10.00, penawaran 4,000 unit Smart Tag dengan harga RM 99.00 seunit termasuk GST dan pemberian rebat sebanyak 10% kepada kenderaan Kelas 1 selama dua bulan bermula dari 9 November 2016 sehingga 31 Disember 2016 yang boleh mula ditebus pada 1 Januari 2017 sehingga 30 April 2017,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, “Waktu operasi bagi lorong tambah nilai di kesemua tol yang menggunakan sistem elektronik sepenuhnya kini adalah 24 jam setiap hari manakala waktu operasi Pusat Khidmat Pelanggan di plaza-plaza tol tertentu adalah bermula dari jam 7.00 pagi sehingga 10.00 malam setiap hari termasuk cuti umum”.
Turut hadir, Pengarah Pengawasan Tol Lembaga Lebuhraya Malaysia, Idrus Mat Tais, Ketua Pegawai Eksekutif SDE, Jamal Abdul Nasir Tahrim, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin dan Ketua Biro Komunikasi PSKLM, Mohammad Fuad Khusairi.
-DK