Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Capaian Internet Akan Ditingkatkan Untuk Kurangkan Beban Guru – Mahdzir

By 17 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha meningkatkan capaian jalur lebar semua sekolah seluruh negara supaya beban guru dapat dikurangkan dan guru-guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh sempena keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pagi tadi.

“Kita mengenal pasti bahawa salah satu sebab guru-guru rasa terbeban adalah disebabkan capaian internet perlahan untuk menghantar dokumen-dokumen ke pusat pangkalan data di samping perlu melaksanakan tugas hakiki mereka dan ianya dalam usaha kami untuk mengatasinya”, katanya.

Mahdzir memaklumkan bahawa guru-guru rasa terbeban disebabkan capaian internet perlahan menyebabkan guru terpaksa menunggu untuk mendapatkan capaian sehingga tidak dapat menumpukan tugas mereka yang lain.

“Dalam tempoh lima bulan ini, pihak kami sedang meningkatkan kelajuan jalur lebar daripada 4 mbps sehingga kepada 10 mbps dan jumlah sebenar dokumen yang perlu di hantar ke pangkalan data juga akan dikurangkan supaya beban guru dapat dikurangkan”, ujar beliau.

Mengulas tentang keputusan UPSR, Mahdzir berkata ibu bapa tidak perlu gusar dengan keputusan UPSR tahun ini kerana format peperiksaan yang berbeza dengan tahun sebelum ini seperti subjek yang bertambah iaitu enam dan aktiviti kokurikulum juga diambil kira.

Sementara itu Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Johara Abdul Wahab memaklumkan berbanding tahun sebelum ini, calon UPSR tahun ini telah mempraktikkan format baru yang melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula sejak Tahun 1 (2011), dan tahun 2016 murid-murid melalui kertas peperiksaan yang berbeza iaitu banyak menjurus kepada kreativiti dan pemikiran kritikal (critical thinking) murid itu sendiri.

Pada tahun ini, kebanyakan soalan UPSR adalah berbentuk struktur yang memerlukan murid-murid berfikir sebelum mereka menjawab, berbeza dengan format sebelum ini iaitu jawaban dalam bentuk objektif (aneka pilihan) sahaja, katanya lagi.

“Saya mohon supaya ibu bapa melihat pencapaian murid-murid secara menyeluruh iaitu tidak kepada pencapaian akademik sahaja, tetapi perlu dilihat pencapaian pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK)”, katanya.

PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik iaitu satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik yang menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

-MRR

Tinggalkan komen anda