Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMelakaViral

Chuan Long Menang Pelakon Lelaki, Pengarah Terbaik

By 10 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Nur Hafif Zainurdin / Foto: Nur Fariza Farnoh (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Memenangi dua anugerah individu menyebabkan Lee Chuan Long mencuri tumpuan ramai dalam Pertandingan Akhir Sketsa Rukun Negara yang berlangsung kelmarin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput itu berjaya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik.

whatsapp-image-2016-11-10-at-11-16-11-am

Bukan itu sahaja, Chuan Long dan rakan-rakan seperjuangannya turut meraih naib johan keseluruhan dalam pertandingan tersebut.

“Saya berasa sangat gembira apabila memenangi beberapa anugerah yang dipertandingkan dalam pertandingan ini. Ini adalah bukti hasil kerja keras kami dan guru-guru penyelaras untuk memberikan yang terbaik dan mengharumkan nama sekolah.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa dan rakan-rakan sekumpulan yang banyak membantu dalam mencurahkan idea dan memberikan semangat untuk saya mengarahkan sketsa tersebut dengan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, anugerah Pelakon Wanita Terbaik, berjaya dirangkul oleh Amira Sophea Noor Azman dari SMK Sultan Alaudin.

“Anugerah ini merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kerana saya menyedari ramai pelakon wanita daripada pasukan-pasukan bertanding yang begitu hebat ketika membuat persembahan di pentas pertandingan.

“Melihat kepada saingan yang diberikan saya sedikit gugup untuk beraksi, namun saya tetap fokus untuk memberikan yang terbaik supaya setiap mesej yang ingin saya dan rakan-rakan bawakan berjaya sampai kepada penonton,” jelasnya.

whatsapp-image-2016-11-10-at-11-16-12-am-1

Tambahnya, anugerah Pelakon Wanita Terbaik yang diterima merupakan bonus untuknya kerana pasukannya turut dinobatkan sebagai johan pertandingan pada edisi kali ini.

Pada pertandingan yang tersebut, 12 buah pasukan Kelab 1Malaysia dari seluruh negeri Melaka berentap dalam pertandingan yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merasmikan pertandingan tersebut berkata pertandingan seumpama ini sangat bagus diadakan bagi mengekang gejala tidak sihat yang membelenggu pelajar-pelajar pada masa kini.

“Jenayah-jenayah sosial seperti mencuri dan menghisap dadah dalam kalangan pelajar telah berada pada tahap yang membimbangkan.

“Justeru, para pelajar diminta untuk berjaga-jaga dan menasihati rakan-rakan seusia untuk menghindar diri daripada kesalahan-kesalahan tersebut,” katanya.

whatsapp-image-2016-11-10-at-11-16-14-am

Pertandingan Sketsa Rukun Negara diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman tentang konsep Rukun Negara yang menjadi teras dalam memupuk semangat jati diri, cintakan negara dan menanam nilai-nilai murni terutamanya dalam kalangan pelajar menerusi lakonan, yang diarah dan dilakonkan oleh peserta sendiri.

Dalam pertandingan tersebut, johan membawa pulang RM1,500 bersama trofi dan sijil, naib johan membawa pulang RM1000 bersama trofi dan sijil manakala tempat ketiga yang dimenangi oleh SMK Durian Tunggal membawa pulang RM500 berserta trofi dan sijil.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Lim Ann Teck dan Pengarah KKTM, Zarinah Idrus.

-DZ

Tinggalkan komen anda