Laporan dan foto oleh : Zaharah Ismail & Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 November (Malaysiaaktif) – “Bulan Sabit Merah Malaysia benar-benar menghargai sumbangan individu dan syarikat seperti Coca Cola atas sumbangan mereka yang membantu kami dengan bekalan barangan penting yang diperlukan mangsa banjir sepanjang bencana itu.”
Ujar Ketua Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Sayed A.Rahman Sayed Mohd ketika ucapan aluan di majlis Penyerahan Bantuan Air Minuman untuk mangsa banjir bagi persiapan perubahan monsun yang akan datang antara Coca-Cola dan Bulan Sabit Merah Malaysia, di Jalan Wisma Putra, di sini hari ini.
Menurut Sayed A.Rahman “menjalankan kerja sukarela, merupakan sebahagian daripada Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, satu rangkaian kemanusiaan bebas terbesar di dunia.”
Coca Cola Malaysia meneruskan komitmennya kepada Bulan Sabit Merah Malaysia hari ini dengan penyerahan 1,440 kotak air minuman sebagai persediaan operasi bantuan banjir akhir tahun, bagi memastikan kedua-dua pihak sukarelawan dan mangsa memperoleh air mencukupi.
Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan Coca Cola Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen Lusk menjelaskan bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.
“Kami merupakan sebahagian daripada masyarakat kerana mereka menikmati produk minuman kami, kerana itulah kami menjadi sebahagian daripada usaha bantuan tempatan dan ini berlangsung dalam pelbagai komuniti dan negara di seluruh dunia.
“Dalam kebanyakan kes, Syarikat Coca Cola berada dalam kedudukan unik untuk menyediakan bantuan sepanjang dan selepas bencana semula jadi apabila komuniti tersebut mempunyai keperluan untuk membina semula kehidupan mereka disebabkan rangkaian pengedaran kami yang meluas dan kehadiran kami di lebih 200 negara,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, “sokongan dan bantuan telah diberikan kepada mangsa gempa bumi pada Jun 2015 di Ranau, Sabah yang telah mengakibatkan banjir, aliran lumpur dan tanah runtuh yang memaksa komuniti di kaki Gunung Kinabalu keluar dari kediaman mereka.”
Usaha-usaha menghantar air minuman ke Ranau telah digerakkan dengan pantas oleh Coca Cola bersama-sama Bulan Sabit Merah Malaysia yang menyediakan lebih daripada 12,000 botol air minuman untuk keperluan mangsa.
– SH