Laporan dan foto oleh : Edawati Sulaiman @ Hod (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Kempen dilancarkan #Ingat Bola Ingat Rohingya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan belia tanah air berkenaan kesengsaraan dan penderitaan hidup yang dialami umat Islam Rohingya atas kekejaman pemerintah Myanmar.
Menurut Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, “Bagi menjayakan program ini, ABIM bakal melaksanakan beberapa siri program Tayangan perdana video Rohingya sempena perlawanan separuh akhir & akhir Piala AFF Suzuki, perlawanan bola sepak persahabatan di sekolah-sekolah ABIM, Flashmob dan siri wacana isu di peringkat negeri bersama komuniti dan masyarakat dengan pengagihan risalah mengenai etnik Rohingya serta gambar-gambar #IngatBolaIngatRohingya.”
Sempena kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar Sabtu ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Malaysian Lifeline For Syria (MLLFS) telah mengadakan Majlis Pelancaran #Ingat Bola Ingat Rohingya yang berlangsung di Pejabat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, di sini siang tadi.
“ABIM juga mengecam sekeras-kerasnya siri pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya oleh pemerintahan Myanmar tanpa batasan hak asasi manusia walaupun Myanmar kini dikatakan dipimpin oleh sebuah kerajaan baharu yang demokratik,” ujarnya lagi.
ABIM berpandangan kemenangan parti politik National League for Democracy (NLED) di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi bersifat hipokrit kerana tidak mengiktiraf ratusan ribu rakyat etnik Rohingya yang mengundi. Malah, siri pembersihan etnik Rohingya dari bumi Myanmar terus dilakukan dengan kejam.
Justeru, ABIM menggesa kerajaan Malaysia dan seluruh negara ASEAN bertegas menilai semula keanggotaan Myanmar dalam ASEAN kerana tindakan kejam kerajaan Myanmar bercanggah dengan prinsip dan budaya negara serantau.
Sementara itu, seorang penulis blog, Zairuddin Hashim menegaskan setiap kempen yang diadakan haruslah secara berterusan.
“Kempen kemanusiaan berkenaan etnik Rohingya di Myanmar seharusnya perlu terus konsisten bukan hanya dibuat secara bermusim atas dasar tertentu,” jawabnya ketika mengulas mengenai isu kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa skuad Harimau Malaysia menarik diri dari menentang Myanmar pada saingan Piala AFF Suzuki di negara itu pada Sabtu ini.