Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hujan, Awan Ganggu Lihat Supermoon

By 15 November 2016November 17th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol / Foto Plenty Out There (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Nov (Malaysiaktif) – Hujan lebat dan awan tebal petang kelmarin hampir menghampakan rakyat tempatan untuk melihat fenomena Perigee atau Supermoon malam tadi.

Peminat fotografi astronomi (Astrophoto), Yunus Jinul, 42, dia bersama empat lagi rakan agak hampa kerana keadaan cuaca tidak mengizinkannya merakam gambar seperti yang telah dirancang.

“Bukan rezeki kami untuk merakam imej bulan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu kerana langit berawan tebal dan kabus mula meliputi bukit yang kami duduki.

“Walaupun begitu, kami bersyukur kerana berpeluang menyaksikan kebesaran Allah ini selama lebih kurang 15 minit selepas awan mula berkurangan pada 8.00 malam,” katanya yang berada di Bukit Kokol sejak 5.00 petang.

img_7048

Chin (kanan) bersama ahli-ahli kelab yang menyertai aktiviti pencerapan Supermoon malam tadi.

Bagi Guru Penasihat Kelab Astronomi Plenty Out There, Chin Kok Chung, 37, peluang menyaksikan fenomena Supermoon ini tidak dilepaskan begitu sahaja olehnya dan ahli-ahli kelab berkenaan.

“Saya bersama lima ahli persatuan menyaksikan fenomena tersebut di padang Sabah Chinese High School, Tawau.

“Lima pelajar tingkatan tiga dan empat mengambil bahagian dan dibimbing kaedah mengambil imej fenomena berkenaan menggunakan teleskop sekolah.

“Imej-imej berkenaan akan disimpan di galeri sekolah untuk kegunaan dan rujukan masa hadapan.

“Walaupun langit berawan dan hujan, kami berjaya merakam imej ?fenomena tersebut dan ini memberi motivasi kepada ahli-ahli kelab agar tidak berputus asa dan sabar ketika merakam imej-imej fenomena angkasa,” terangnya kepada pihak media ketika dihubungi pagi tadi.

Menurut Chin, sehingga kini kelab tersebut disertai oleh 15 ahli dan telah banyak menganjurkan pelbagai aktiviti pencerapan untuk ahli-ahli dan juga orang ramai.

?Imej-imej fenomena tersebut boleh disaksikan di Facebook kelab berkenaan, Plenty Out There – Astronomy Club.

?Sementara itu, Presiden Persatuan Sabah Stargazer, Dr Esmar Abd. Hamid ketika dihubungi berkata, aktiviti pencerapan fenomena berkenaan terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Pihak kami merancang untuk menganjurkan pencerapan awam bersama penduduk kampung berhampiran balai cerap kami, walau bagaimanapun keadaan cuaca yang hujan dan awan tebal menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membatalkan program berkenaan.

“Dengan izin Allah kami akan mengadakan program-program pencerapan fenomena lain bersama penduduk kampung pada masa akan datang,” ujarnya.
?
Supermoon merupakan fenomena yang merujuk keadaan bulan dalam fasa penuh atau purnama. Bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang disebabkan kedudukannya yang paling hampir dengan Bumi dengan jarak lebih kurang 360,000 kilometer.

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), kedudukan paling dekat ini hanya akan berlaku pada 18 tahun lagi dan kali terakhir berlaku adalah pada 1945.

 

SF

Tinggalkan komen anda