Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Terputus bekalan susu dan lampin untuk anak-anak membuatkan suri rumah, Ziela Shafina Resely, 29, buntu dan terdesak untuk mendapat bantuan daripada orang ramai bagi meringankan bebannya.
Bertambah malang apabila suaminya, Ramli Muhamed, 60, menghidap strok ringan sejak tiga bulan lepas yang membataskan pergerakannya hingga tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.
Sebelum ini, Ramli mengambil upah dari rumah ke rumah sebagai pemotong rumput yang menjadi punca pendapatan mereka dan tiga orang anak berumur lima bulan hingga empat tahun.
“Selepas serangan strok tiga bulan lepas, suami semakin pulih. Tetapi minggu lepas dia terkena serangan lagi maka saya terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja kerana perlu menjaga suami dan anak-anak di rumah,” kata Ziela yang berasal dari Negeri Sembilan.
Doktor juga turut mengesahkan yang mata kanan suaminya telah rosak dan kini buta sebelah mata ditambah lagi suaminya turut menghidap kencing manis dan darah tinggi.
Menyambung ceritanya, Ziela berkata pada mulanya dia memang rasa sangat terdesak kerana ketika itu wang di dalam simpanan hanya RM10 sahaja, cukup-cukup untuk mengisi minyak kereta untuk membawa suaminya berurut malam itu.
“Kerana itu saya memohon bantuan dari orang luar. Sebelum ini saya tidak pernah buat macam ini. Ketika suami tidur saya kata saya minta maaf terpaksa malu demi anak-anak dan kesihatan dia,” ujarnya pilu.
Kata Ziela, dia turut mencuba membuat dadih dan menjualnya di kantin sekolah. Namun dengan hanya 30 bekas dadih sehari yang dijual dengan harga RM0.80 sen sebekas, dia hanya mendapat untung sebanyak RM5 sehari.
Namun begitu, mujur dia tidak perlu membayar sewa rumah yang diduduki sejak tahun lepas di Pangsapuri Padang Jambu, Melaka Baru kerana rumah tersebut disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Saya turut mendapat bantuan makanan bernilai RM200 setiap bulan daripada MAIM dan wang tunai RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dan ada juga beberapa bantuan yang disumbangkan dari beberapa pertubuhan,” jelasnya.
Menurut Ziela, doktor memaklumkan yang suaminya disarankan mengambil beras tidak berkanji seperti beras perang dan minyak masak yang tertentu sahaja akibat kencing manis yang dihidapi.
“Saya kalau boleh nak suami sihat seperti sedia kala. Sebelum ini dia memang gagah walaupun umur sudah 60 tahun tapi dia boleh pikul mesin rumput hingga ke tingkat empat rumah kami.
“Tapi, darah tinggi menyebabkan dengan sekelip mata sahaja dia lemah satu badan. Dia sebenarnya sudah patah semangat, tapi saya cakap kepada dia, tolong ingat anak-anak dan saya,” jelas Ziela.
Tambahnya, dia tidak memberitahu keluarganya mengenai kesusahan yang dihadapi kerana tidak ingin menyusahkan sesiapa, apatah lagi adik beradik juga semuanya sudah berkeluarga dan pasti punya masalah masing-masing.
“Ada yang minta anak saya yang bongsu ini, tapi saya kata, biar saya susah macam mana pun, saya takkan bagi anak saya pada orang, biar saya mengemis sekalipun, mereka sahaja harta saya dunia akhirat,” ujar Ziela.
Katanya lagi, dia pernah memohon untuk mendapatkan ketuhar dan pengadun daripada sebuah pertubuhan kerana kemahirannya untuk membuat kek mungkin boleh digunakan untuk menambah pendapatan sambil menjaga anak dan suami, namun, hingga kini masih belum mendapat maklum balas.
“Saya sebenarnya malu mohon bantuan, sebab suami bukan sakit terlantar, tapi saya belum boleh keluar bekerja kerana jaga suami. Apabila suami sudah sihat, saya akan hentikan terima sumbangan dan bekerja sendiri nanti,” katanya penuh harapan.
-DZ