Skip to main content
Berita TempatanSabah

NBOS JPA Outreach Himpun Tiga Inisiatif

By 24 November 2016Tiada komen3 minit bacaan

  Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Johnny Joklis (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Nov (Malaysiaktif) – Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) digunakan pada program NBOS JPA Outreach untuk menghimpunkan tiga inisiatif  sistem penyampaian perkhidmatan awam iaitu 1Malaysia Customer Service of Civil Servants (1SERVE), 1Malaysia Civil Service Retirement Support (1PESARA) dan Data Science Interest Group (DSIG).

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, program itu direalisasikan hasil jalinan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah,Institut Tadbiran Awam Negara  (INTAN) Kampus Sabah, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

“Kita adakan program ini khusus untuk rakyat Sabah dalam rangka merancang hala tuju penyampaian perkhidmatan terus kepada rakyat, bakal pesara, pesara dan penjawat awam dengan pelbagai disiplin ilmu yang telah ditawarkan dalam beberapa slot ceramah,” katanya semasa majlis penutupan program itu di INTAN Kampus Sabah, pada Selasa.

Mohamad Zabidi menurunkan tandatangan pada buku tulisannya "Lakaran Kembara Transformasi".

Zabidi menurunkan tandatangan pada bukunya “Lakaran Kembara Transformasi”.

Jelasnya, inisiatif pertama iaitu1SERVE merupakan penambahbaikan kepada perkhidmatan kaunter kerajaan yang sebelum ini mengamalkan konsep satu kaunter satu perkhidmatan kepada konsep satu kaunter pelbagai perkhidmatan.

“Kaunter 1SERVE JPA4U bukan sahaja menawarkan perkhidmatan JPA, malah menyediakan perkhidmatan merentas jabatan seperti perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pada masa ini, kaunter ini telah diperluas ke agensi dan lokasi tertentu dengan sistem penyampaian petugas barisan hadapan terus diperkasakan,” katanya.

Menyentuh inisiatif kedua iaitu 1PESARA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menyatakan inisiatif itu memberi fokus perkhidmatan kepada golongan pesara kerajaan dalam empat aspek utama iaitu kesejahteraan pesara, panduan bekerja semula, pembangunan keusahawanan dan pengurusan kewangan serta kelangsungan kesihatan.

“1PESARA bermatlamat membantu golongan pesara dan bakal pesara terus produktif dalam menyusuri alam persaraan, menyediakan perkhidmatan yang holistik dan merentas pelbagai agensi serta membantu kerajaan dalam menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Borhan (kiri) bersama  Zabidi.

Borhan (kiri) bersama Zabidi.

“JPA turut melaksanakan kursus pra-persaraan untuk memberi pendedahan secara komprehensif tentang aspek-aspek yang bakal dihadapi oleh mereka selepas perkhidmatan.

“Oleh itu, JPA bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT), Unit Strategi Nasional (NSU), Kementerian Kewangan Malaysia, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Malaysia Academy of SME & Entrepreneurship (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA),” ujarnya.

Tambahnya, inisiatif ketiga iaitu Data Science Interest Group (DSIG) pula dibawa khusus ke Sabah untuk memberikan peluang kepada penjawat awam di negeri ini dan pihak industri untuk berkongsi kemahiran dalam menganalisis data dengan lebih berkesan.

“Perdana Menteri menyatakan tahun 2017 ialah Tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia. Salah satu pemangkin bagi mengembangkan Ekonomi Digital ialah menerusi kumpulan bakat seperti pembangunan bakat Big Data Analitic (BDA) serta Data Science sebagai salah satu inisiatif yang dikenal pasti.

“Oleh itu secara tidak langsung DSIG ialah salah satu pemangkin dalam merangsang Ekonomi Digital Negara,” jelasnya.

-SF

Tinggalkan komen anda