Laporan dan Foto oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Malaysiaaktif) – “Maktab Koperasi Malaysia (MKM) membantu semua anggota koperasi meningkatkan ilmu koperator dalam kalangan setiap ahli dan dengan adanya ilmu koperasi bagi setiap anggota, diharap tiada lagi penyalahgunaan kuasa yang akan terjadi”.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata demikian semasa Majlis Malam Perdana Sempena Ulang Tahun MKM ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat lalu.
“Sepanjang 60 tahun, kewujudan MKM telah menyaksikan pelbagai kemajuan pendidikan dan latihan koperasi, selari dengan perkembangan dan keperluan semasa gerakan koperasi tanah air,” tambah beliau.
Hamzah juga menyeru agar Ahli Lembaga dan alumni MKM bertanggungjawab dan mempunyai ilmu yang tinggi serta berperanan penting dalam menguruskan agenda koperasi bagi menyebarluaskan bidang koperasi ke peringkat antarabangsa.
Turut diadakan, Penyampaian Anugerah Penghargaan bagi beberapa kategori seperti kategori individu iaitu Anugerah Kepimpinan Modal Insan Koperasi yang dimiliki Armi Zainuddin, Anugerah Akademik Koperasi yang dimiliki Dr Hayati Md Salleh dan Anugerah Transformasi Latihan Koperasi yang dimiliki Norwatim Abdul Latiff.
Manakala bagi kategori koperasi pula iaitu Anugerah Koperasi Lestari Modal Insan Kategori Sederhana, Koperasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Berhad (KOJUPEM), Koperasi Lestari Modal Insan Kategori Kecil dan Mikro, Koperasi Kakitangan JPJ Negeri Terengganu Berhad dan Anugerah Koperasi Lestari Modal Insan Kategori Koperasi Besar, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.
Semua penerima anugerah menerima sijil penghargaan, plak cenderamata dan wang tunai.