Laporan oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 20 Nov (Malaysiaaktif) — Pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi juara dalam Kejohanan Debat Antara Universiti (Cambridge IV) yang berakhir semalam di Universiti Cambridge,United Kingdom.
Pasukan debat UIAM yang di wakili oleh pelajar Jurusan Undang-undang Ameera Natasha Moore dan pelajar Jurusan Ekonomi dan Sains Pengurusan Mubarrat Wassey, pada pertandingan akhir menewaskan tiga pasukan dalam pertandingan empat penjuru.
Pegawai Media UIAM, Roslan Rusly memaklumkan pada pertandingan akhir tersebut usul yang dibentangkan bertajuk, ‘Dewan Ini Beranggapan Sebuah Institusi Islam Yang Berstruktur Perlu Diletakkan Pada Satu Institusi Dunia Yang Kukuh, Kuat dan Berpusat.’
“Pasukan UIAM menewaskan pasukan debat dari Universiti Oxford, Universiti Toronto, Canada serta pasukan dari Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM). Mubarrat Wassey juga dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan Kejohanan,” ujar beliau.
“Untuk rekod ini adalah kali kedua pasukan debat dari Malaysia memenangi pertandingan ini, pada tahun lepas pasukan debat dari UiTM pernah memenangi pertandingan yang sama,” jelasnya lagi.
Menurut Roslan lagi, kejohanan tersebut berlainan dari format Parlimen British yang sedia ada, iaitu setiap empat pasukan perlu berentap antara satu sama lain pada setiap pusingan.
“Pada tahun ini UIAM telah meraih kemenangan di tiga kejohanan debat berprestij dunia seperti Kejohanan Debat Antara Universiti Australasian (Australs), Kejohanan Debat United Asian (UADC) dan Kejohanan Debat Parlimen British Asia (ABP) serta kini bersiap sedia untuk menyertai Kejohanan Debat Utama Dunia pada Disember nanti di Belanda,” ulasnya.
Kejohanan Debat Antara Universiti Cambridge yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 November disertai 100 pasukan dari seluruh dunia.
Dikelolakan oleh Cambridge Uniion Society, Cambridge IV merupakan antara kejohanan debat paling berprestif di dunia.