Skip to main content
Berita TempatanSabah

UPSR 2016-Pelajar Pedalaman Turut Cemerlang

By 20 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohammad Abdul Rahman / Foto FB Dun Bongawan (Sabah)

PAPAR, 20 Nov (Malaysiaktif) – Pelajar-pelajar pedalaman turut mencatatkan kejayaan cemerlang setanding dengan pelajar pusat bandar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016.
Menurut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Henry Kennenth Lawrence, walaupun peperiksaan tahun ini menggunakan format baharu, namun tetap tidak melunturkan semangat para pelajar khasnya di sekolah luar bandar untuk mendapat keputusan cemerlang.

“Berdasarkan gred purata Sekolah (GPS), Papar berada dalam kedudukan ke-12 daripada 24 daerah dengan GPS 3.33.

“Berdasarkan analisis, pelajar menguasai semua subjek, 973 daripada 1861 pelajar UPSR lulus dengan mencapai 52.28% meletakkan Daerah Papar dalam kedudukan ke-sembilan daripada 24 daerah di Sabah”, katanya semasa ditemui di Pejabat Urusetia Daerah pada Jumaat.

“Tahniah kepada Sekolah SK Nyaris Nyaris, SK Pekan Papar, SK St Mary, SK Surati, SK Sumbiling, SK Pengalat Kecil atas kejayaan pelajar memperoleh 6A dalam UPSR”, ujarnya.

Sementara itu, pelajar Luar Bandar Cemerlang, Aubry Alexender Lionus Viktor, 12, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila dimaklumkan mendapat 6A di SK Sumbiling pada khamis.

Anak pertama daripada tiga beradik ini meluahkan rasa syukur dengan keputusan tersebut.

Aubry berkata hidup sebagai seorang anak penoreh getah memberinya kekuatan untuk berusaha membantu ayah dan ibu. Kejayaan hari ini merupakan berkat doa ibu bapa dan guru-guru, terima kasih.

Guru kelas, Mohammad Nizam Nordin berkata Aubry merupakan seorang pelajar yang matang, fokus dalam kelas dan aktif.

“Aubry aktif menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum seperti pertandingan Scrabble Bahasa Inggeris, acara sukan lontar peluru di peringkat Daerah serta DUN Bongawan.

“Selain itu, turut memegang pelbagai jawatan seperti pengerusi kelab bahasa Inggeris, dan setiausaha persatuan olahraga sekolah. Ini menyebabkan Aubry layak menerima anugerah pelajar terbaik di sekolah ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sumbiling, Mohammad Tajuddin Abdul Samad berkata beliau berbangga dengan pencapaian sekolah ketika ini dengan GPS 2.33 serta lulus penuh 58.2%.

“Sebagai pentadbir serta para guru di sekolah ini, kami berusaha melahirkan pelajar cemerlang seperti Aubry”, katanya ketika menyampaikan slip keputusan kepada Aubry di sekolah terbabit pada Khamis.

SF

Tinggalkan komen anda