Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Walaupun Miskin, Anak-Anak Mesti Sekolah-Ibu Tunggal

By 9 November 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Wira Ismail 

SIBU, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Ini satu kenyataan kehidupan di bandar Sibu yang pernah tercatat mempunyai paling ramai jutawan per kapita berbanding bandar-bandar lain di Borneo.

Di satu sudut di sini, tertonjol sebuah drama kehiduan yang menyentuh hati. Hakikatnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila mengunjungi sebuah rumah usang di Kampung Hilir Sibu di mana seorang ibu dengan penih kasih mendakap erat anaknya yang berusia lima tahun.

Menaiki tangga kayu rumahnya usang yang kelihatan daif, selain kelibat sebuah televisyen CRT bersaiz 14″ sebagai hiburan anak-anak, si ibu Nila Nukrih, 37, memulakan bicara lembut.

“Saya mula berpindah ke Sarawak pada tahun 2000 tetapi mula masuk ke sini sejak empat tahun lalu setelah pemergian ibu mertua. Suami pula ke Sabah tanpa sebarang berita meninggalkan saya bersama lima orang cahaya mata,” ujarnya.

Ibarat digantung tidak bertali, Nila dilihat cukup tabah membesarkan anak-anak keseorangan dengan mengambil upah membasuh baju dari rumah ke rumah bagi memastikan pendidikan anaknya tidak terganggu..

img_6489

Rumah Nila bersama anak-anak yang pasti basah jika hujan turun.

“Yang tuanya tingkatan lima, sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kedua tingkatan empat, tingkatan 1, darjah empat dan yang bongsu ini lima tahun. Biarpun miskin, saya mesti berusaha bagi mereka sekolah.

“Saya mengambil upah sebagai pembantu rumah, tolong ibu-ibu di sekitar ini basuh kain. Dengan gaji harian, saya cuba dapatkan juga tempat-tempat lain yang saya boleh cuci baju.

“Di rumah ini pada asalnya tiada elektrik, rumah pun atas air memang tidak dapat sambung elektrik. Mujur ada kawan yang sudi berkongsi elektrik yang kosnya dalam RM100 sebulan. Bil air dalam masa tiga bulan pula mencecah RM130. Alhamdulillah, duit zakat RM400 sebulan benar-benar membantu mengurangkan bebanan hidup kami,” katanya.

img_6488

Nila bersama anak bongsunya.

Nila merupakan antara 11 penerima bantuan wang dan makanan asas yang ditemui Malaysiaaktif dalam program Jalinan Kasih anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) di sekitar Sibu semalam.

Sementara itu, seorang lagi penerima dari Teku, Yiu King Bee, 60, berasa bersyukur atas pemilihannya sebagai penerima bantuan Jalinan Kasih setelah terlibat dalam kemalangan bulan lalu.

img_6528

Yiu King Bee (kiri) bersama Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu.

“Ketika menaiki motosikal untuk simen rumah, saya dilanggar dari belakang. Walaupun tangan patah, saya tidak ke hospital, sekadar menggunakan perubatan tradisional.

“Oleh sebab kemalangan, saya kurang mengambil upah sebagai tukang rumah. Pergerakan saya juga tidak seaktif dahulu. Dengan adanya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekurang-kurangnya membantu anak saya yang sedang belajar di Johor,” ujarnya yang memiliki lebih 50 piala hasil kemenangannya dalam Pertandingan Karaoke di Sibu.

img_6531

Koleksi piala Yiu King Bee hasil memenangi Pertandingan Karaoke di sekitar Sibu.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, JaPen, Hashim Bedu, Jalinan Kasih di Sibu ini merupakan majlis penutup bagi tahun ini setelah pihaknya menjelajah ke seluruh Malaysia bagi tujuan mendekati masyarakat tempatan.

“Jalinan Kasih kali ini merupakan program terakhir yang kami adakan bersempena program ‘Apa Kata Gen Y’. Kami telah turun ke 11 rumah di lima kampung untuk mendekati masyarakat khasnya dalam membantu mengesyorkan cara bagi  mengatasi masalah dan bawa kepada agensi berkenaan di peringkat tempatan.

“Di sini, kami sempat menemui pelbagai kaum yang ada seperti, Melayu, Melayu Melanau, Kadazan, Cina yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), fakir miskin dan beberapa individu yang terlantar sakit.

img_6567

Hashim Bedu, dalam salah satu lawatannya ke rumah warga emas, Aminah Yusuf, yang tinggal keseorangan di Sibu bagi program Jalinan Kasih.

“Menerusi program ini, JaPen dapat kenal pasti jaringan komunikasi untuk pembangunan negara. Agensi kerajaan yang mentadbir negara mempunyai pelbagai inisiatif yang melibatkan rakyat dalam aspek kebajikan. Oleh sebab ada jurang berlaku, inisiatif tersebut tidak sampai.

“Rakyat tidak mendapat maklumat, jadi menerusi program sebegini kita dapat input kenal pasti masalah seterusnya dapat mengelakkan masyarakat dari pada berasa terpinggir,” jelas Hashim.

img_6568

Bujang Noh (kiri) yang tidak lagi dapat melihat dan mendengar ditemani isterinya semalam dalam lawatan Jalinan Kasih anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Program ‘Apa Kata Gen-Y’ yang akan berlangsung di University College of Technology Sarawak (UTCS) pada petang ini akan melengkapkan 11 program tersebut yang telah berlangsung di seluruh Malaysia selain empat program demokrasi berparlimen.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda