Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jawatan Satu Ibadah – Ismail

By 13 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

  Oleh:  Asmidar Zainol &  Johnny George Kimlon (Sabah)

BEAUFORT, 13 Dis (Malaysiaktif) – Jawatan yang disandang sama ada di sektor swasta  mahupun di sektor kerajaan merupakan suatu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Penerima Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul 1438H/2016M kategori lelaki, Datuk Ismail Awang Besar, 72 berkata jadikan lah jawatan yang disandang sebagai suatu ibadah dengan melaksanakannya dengan penuh dedikasi dan komited yang tinggi.

“Sebagai seorang penjawat awam, kita perlu mengganggap jawatan yang diamanahkan sebagai suatu ibadah agar kita dapat berkhidmat dengan penuh ikhlas dan berintergriti.

Ismail (kanan) menerima watikah Penghargaan dari Musa (dua dari kiri).

Ismail (kanan) menerima watikah Penghargaan dari Musa (dua dari kiri).

“Ini sangat penting supaya kita tidak terseleweng dengan perkara-perkara yang tidak diredai oleh Allah,’ katanya kepada Malaysiaaktif semasa menerima penganugerahan tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sabah itu juga menyeru semua penjawat awam agar sentiasa menjadikan Rasulullah sebagai contoh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat Negeri Sabah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini pada Isnin.

Ismail yang berasal dari Papar, mula memasuki perkhidmatan awam pada 1962 sehingga 1985 pernah menjawat jawatan-jawatan penting dalam kariernya.

Antara jawatan tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah (ADO) Penampang dan Tuaran, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Timbalan Pengarah di salah sebuah Jabatan Ketua Menteri, Pengarah Eksekutif di Sabah Development Bank, Pengerusi Saham Sabah Berhad, Pengarah Urusan Merangkap Pengerusi Suria Capitol Holding Berhad.

Sehingga kini jasa beliau masih diteruskan dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Negeri Sabah.
Sementara itu, penerima anugerah yang sama bagi kategori Wanita pula diberikan kepada Datin Seri Norsuadah Hj Basah, 63.

Norsuadah merupakan penerbit rancangan dan penyampai berita di Radio TV Malaysia (RTM) Sabah, aktivis dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebelum menyertai arena politik dan seterusnya dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebajikan Masyarakat.

Ishak Ibrahim wakil kepada Norsuadah (kanan) menerima hadiah daripada Musa (dua dari kiri).

Ishak Ibrahim wakil kepada Norsuadah (kanan) menerima hadiah daripada Musa (dua dari kiri).

Ismail dan Norsuadah menerima wang tunai berjumlah RM10, 000, watikah penghargaan, seutas jam tangan, buku-buku dan sepasang pakaian yang disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Pada majlis yang sama, Musa turut menyampaikan hadiah RM 3,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi Johan Kategori Pertandingan Sepanduk Terbaik (Jabatan Kerajaan) manakala Persatuan Seni Khat Sabah diumumkan sebagai Johan Kategori Pertandingan Sepanduk Terbaik.

Manakala Masjid Jamek Kg Kebatu Kebidang Beaufort  dipilih sebagai Johan kategori Pertandingan Sepanduk Kariah. Johan Kategori Sekolah Rendah menjadi milik Sekolah Rendah Agama Negeri Kampung Kabidang dan Johan Kategori Sekolah Menengah disandang SM Negeri SMART Beaufort.
Hadiah lain yang disampaikan ialah Kontinjen Terbaik Kementerian/Jabatan Kerajaan/swasta iaitu Jabatan Penjara; kategori NGO oleh Badan Perhubungan UMNO NEGERI Sabah; kategori sekolah rendah iaitu Madrasah Al Hidayah Kampung Pasir Putih,Putatan; kategori sekolah menengah, SMK Beaufort II; kategori khariah Kawasan Rukun Tetangga KRT Beaufort dan Kontinjen Teramai pula diraih oleh Mardrasah Al Hidayah Kampung Pasir Putih Putatan dengan jumlah 210 ahli.

Dalam pada itu, sambutan yang bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” disertai hampir 4,500 peserta daripada 73 kontinjen.

-SF

Tinggalkan komen anda