Oleh Mohd Zulfadli Bin Ab Hamid
KUALA KRAI 31 Dis (Malaysiaaktif) — Kuala Krai menyambut penghujung 2016 dengan musibah banjir. Beberapa buah kampung di daerah ini, termasuk Kampung RPT Batu Mengkebang, Kampung Sungai Durian dan Kampung Chenulang mula dinaiki air setinggi tiga meter ekoran hujan lebat dan angin kuat bermula kira-kira pukul 4.00 pagi semalam.
SEmasa laporan ini difailkan hujan sudah mulai reda dan paras air di Kampung RPT Batu Mengkebang semakin surut. Seorang penduduk, Zaiton Binti Ya, 55, berkata air di kawasan rumahnya melebihi paras tiga meter dan mula memasuki rumah pada kira-kira pukul 7.00 pagi.
Katanya lagi, hujan lebat yang bermula sekitar pukul 3.00 pagi menyebabkan paras air meningkat dengan begitu cepat.
“Saya tidak menyangka air begitu cepat memasuki rumah, namun bersyukur barang-barang berharga sempat disimpan ke tempat yang lebih selamat.
“Harapan saya agar air cepat surut dan berdoa supaya banjir seperti 2014 tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, beberapa jalan mula ditutup kepada kenderaan ringan bermula pukul 7.00 pagi. Antaranya, laluan di hadapan stesen Petronas Guchil, bawah jambatan kereta api dekat Tasik Kuala Krai dan Sungai Durian yang dibuka hanya satu lorong kerana air bertakung.
Jalan-jalan kampung seperti di Kg Block Pasir Puteh dekat RPT Batu Mengkebang masih ditutup untuk semua kenderaan kerana air agak dalam dan arus deras. Jalan Sg Durian ke Chenulang juga telah dinaiki air, namun masih dibuka untuk kenderaan berat.