Skip to main content
EkonomiHomeViral

Usaha Pembiakan Penyu Demi Kepentingan Ekosistem

By 30 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan / Foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

KEMAMAN, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Kelangsungan penyu adalah sangat penting terhadap ekosistem di laut bagi memastikan bekalan ikan di negara ini.

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber, Jabatan Perikanan Terengganu, Rosman  Rusdi, “Penyu membantu proses fotosintesis rumpai dan tumbuh-tumbuhan laut, bertindak sebagai pelindung kepada batu karang, kerana mereka memakan perosak batu karang, seperti span laut. Ini membolehkan batu karang menjadi pelindung kepada anak-anak ikan”.

Selain itu, penyu yang menjadikan obor-obor laut sebagai makanannya juga membantu telur-telur ikan dapat disenyawakan dengan baik.

Menurut Rosman lagi, bukan hanya penyu belimbing yang telah hilang dari pantai-pantai di Terengganu, malah penyu karah dan penyu lipas juga sangat sukar ditemui kini.

 

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia (MyDOF) dengan kerjasama kerajaan Terengganu telah mewartakan dua kawasan sebagai lokasi perlindungan penyu , iaitu Santuari Rantau Abang dan Ma’Daerah. Disamping itu, 12 buah pantai turut diisytiharkan sebagai pantai pendaratan penyu.

Kerajaan juga memajak lagi 36 kawasan pendaratan penyu kepada orang awam, ini menjadikan jumlah 48 buah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan ‘sarang penyu’.

Jumlah telur penyu yang berjaya dikutip untuk dieramkan pada tahun ini ialah sebanyak 650,000 biji dengan 510,000 ekor anak penyu berjaya menetas dan dilepaskan ke laut di seluruh Terengganu.

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Abd Halim Mat Noor berkata, “Kali terakhir penyu belimbing mendarat dan bertelur di Rantau Abang pada 2010.”

Selain itu, antara langkah-langkah yang diambil termasuk mewartakan kawasan perlindungan spesies tersebut serta lokasi pendaratan penyu. Kerajaan juga akan membeli kembali telur-telur yang dijual untuk dierami.

c785cab7-3470-4cef-9933-e8846a0d2775

Berbeza pula dengan pemuliharaan penyu di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson. Menurut Ketua Pusat Ikan Hiasan Jabatan Perikanan Malaysia Port Dickson, Nawar A. Halim, walaupun ramai yang tidak mengetahui kewujudan tempat ini, tetapi ia giat dalam pemuliharaan dan pembiakan penyu, selain pembiakan batu karang, ikan inggu atau badut dan juga kuda laut yang semakin diancam kepupusan.

Dibuka secara percuma kepada orang ramai dari hari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan pada hari Sabtu serta Ahad dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang, Pusat Ikan Hiasan ini membiakkan dua jenis penyu utama, iaitu penyu karah dan penyu agar.

Menurut Nawar perbezaan paling nyata pembiakan penyu di sini berbanding tempat-tempat lain ialah penyu dijaga dan diberi makan setiap hari sehingga sekurang-kurangnya berumur enam bulan sebelum dilepaskan ke laut. Ada juga yang dijaga sehingga berusia enam tahun.

“Tujuannya supaya penyu menjadi cukup kuat bagi menghadapi pemangsa di lautan dan memastikan jangka hayat yang lebih panjang.

“Sangat jarang pusat pemuliharaan penyu berbuat begini terutamanya di negara ini kerana kosnya amat tinggi selain penyu juga kuat makan,” jelasnya lagi.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda