Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Memanah, Menunggang Kuda Latih Kanak-Kanak Fokus

By 20 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

 MELAKA, 20 Dis (Malaysiaaktif) — Terpancar kegembiraan di wajah anak-anak kecil ini ketika di bawa oleh guru-guru untuk keluar beriadah dengan belajar memanah dan menunggang kuda di Pusat Ekuin Ladam Merah (PELM), Paya Dalam disini.

Aktiviti luar yang dijalankan separuh hari membabitkan seramai 24 orang kanak-kanak pra-sekolah Al-Baghdadi Play Centre (APC), Merlimau yang berusia sekitar empat hingga enam tahun.

87c375fa-bcd1-4fd9-a93a-5d938407e86e

Memberi makan kepada kuda – menyemaikan kemesraan dengan haiwan.

 

Menurut pemilik APC, Zaiton Mahmood, program yang pertama kali diadakan ini mendapat respon yang baik daripada ibubapa sendiri yang berminat untuk mendedahkan anak-anak dengan aktiviti luar.

“Tempat yang saya pilih ini dipunyai oleh mereka yang terlatih dan ada pengetahuan mengenai pengendalian kuda dan memanah, dan mereka turut memberikan taklimat keselamatan kepada anak-anak sebelum memulakan aktiviti,”katanya.

8d5695a9-f5b8-4624-b21b-cf13a6536420

Taklimat diberikan oleh Usamah sebelum memulakan aktiviti.

 

Tambahnya, dengan melakukan program sebegini, minda kanak-kanak akan lebih terbuka dan mereka dapat belajar mengenai dunia luar dan dapat mempraktikkan sendiri pembelajaran tersebut berbanding di kelas yang hanya berpandukan pada buku.

Kata Zaiton, pada masa akan datang beliau merancang untuk membawa lagi anak-anak pra sekolah ini ke PELM dan mengambil pakej satu hari pula kerana akan ada lebih banyak lagi aktiviti yang dapat dilakukan bersama-sama mereka.

Sementara itu, menurut pemilik PELM, Usamah Shaidin,25 berkata pada mulanya ibu bapanya membeli hanya dua ekor kuda sebagai haiwan peliharaan dan untuk membantu meragut rumput yang di tumbuh di halaman rumah kediaman mereka yang berkeluasan kira-kira 2.5 ekar tersebut.

fda67881-5315-45d7-b11c-864555e73385

Taklimat cara memanah.

 

“Kemudian setelah dua tahun, penduduk setempat mula bertanya kalau mereka boleh belajar menunggang kuda dan disitulah kami mula membuka kawasan ini kepada orang awam yang berminat untuk belajar,”katanya kepada Malaysiaaktif.

Menurutnya, mereka gembira dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk belajar dan mencuba sukan yang digemari Rasulullah S.A.W yang banyak memberi kebaikan kepada setiap individu.

“Contohnya dengan menunggang kuda, boleh meningkatkan tahap fokus kita disamping menguatkan kaki dan tulang belakang serta jantung kita terutamanya sama juga seperti memanah yang dapat menguatkan otot tangan kita,”jelasnya.

7939e4af-f122-4410-a2bb-6c0bebeccb78

Perniagaan yang baru sahaja dibuka awal tahun ini mendapat sambutan yang baik terutamanya kepada guru-guru tadika dan juga ibu bapa dan dalam masa yang sama mereka turut memperbaiki setiap perkhidmatan dan pengisian aktiviti yang ingin dilakukan dari masa ke semasa.

“Semua enam ekor kuda kami dipilih secara teliti kerana setiap jenis ada macam-macam kegunaan, seperti untuk berlumba, endurance dan sebagainya. Jadi, kuda-kuda yang ada disini kita pilih yang jinak dan sesuai untuk proses pembelajaran,”kata Usamah.

Menurutnya, bayaran berjumlah RM35 yang dikenakan bagi seorang kanak-kanak adalah merangkumi pengangkutan, sarapan, memanah, menunggang dan memberi makan kuda manakala bagi dewasa pula dikenakan RM350 untuk mengikuti kelas pembelajaran sebanyak enam kali.

Tambah Usamah lagi, penglibatan kanak-kanak di usia empat tahun dalam sukan ini adalah sangat bagus kerana selain mereka dapat belajar fokus dalam melakukan sesuatu pekerjaan, mereka juga akan menjadi seorang yang berani.

“Bagi seorang kanak-kanak yang pendiam, kami akan ajar mereka untuk berkomunikasi dan mengawal kuda kerana mereka perlu berani untuk mengeluarkan suara memberi arahan pada kuda samada perlu berjalan atau berlari, kerana kuda-kuda memang sudah terlatih,”jelasnya.

Dengan itu, hasil pendedahan daripada sukan ini, kanak-kanak di sekolah akan lebih berani berbanding kanak-kanak yang lebih terdedah dengan gajet yang tidak memerlukan sebarang pergerakan tubuh badan selain jari.

“Untuk tahun hadapan, kami turut merancang untuk membuat kerjasmaa dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk melibatkan pelajar sekolah dan belia kepada sukan berkuda dan memanah,”ujarnya.

Harapan Usamah, suatu hari nanti sukan berkuda ini akan mempunyai lebih ramai peminat dan dapat dikembangkan ke seluruh Malaysia setaraf dengan sukan badminton dan bola sepak.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda