Oleh Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)
KOTA KINABALU, 18 Disember (Malaysiaktif) – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) dan SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu menjalin kerjasama perkongsian ilmu dan kepakaran dalam meningkatkan kemahiran pelajar serta tenaga pengajar pada majlis menandatangani Nota Persefahaman (NoU).
Pengarah PKK Roslee Yahya berkata, menerusi NoU tersebut semua pihak bersetuju menjalinkan kerjasama dan perkongsian ilmu, kepakaran dan aspek-aspek lain dalam memantapkan proses pengajaran serta pembelajaran di sekolah berkenaan.
“Aktiviti perkongsian ilmu dalam bidang kejuruteraan dengan pelajar, dapat memupuk minat para pelajar SMK Tun Fuad Stephens dalam bidang kejuruteraan dan seterusnya menimbulkan minat untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini selepas tamat persekolahan nanti.
“Kolaborasi ini dilihat sebagai platform atau peluang kepada tenaga pengajar sekolah berkenaan untuk meningkatkan ilmu kemahiran di Intitusi ini.
Roslee berkata demikian semasa menyaksikan majlis menandatangani NoU antara Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKK Wan Zain Wan Dolah dan Lokuin Gintos, pengetua SMK Tun Fuad Stephens pada khamis.
Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Lokuin Gintos berkata Sekolah ini terletak di daerah Tuaran dan menempatkan seramai 350 pelajar dari Tingkatan satu hingga enam.
“SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu bukanlah di antara sekolah yang popular di negeri ini, namun kami cukup berbangga dengan prestasinya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.
“Ini kerana pada tahun 2014, sekolah ini mendapat tempat kedua tertinggi peratusan lulus SPM di kalangan 10 buah sekolah menengah di daerah Tuaran.
“Begitu juga dalam tahun 2015 dimana prestasinya masih kekal cemerlang di kedudukan empat teratas.
Ujarnya lagi, diharap melalui perkongsian ilmu dan kepakaran ini dapat meningkatkan lagi motivasi para pelajar untuk berjaya kerana pendedahan pembelajaran teknikal mampu meyakinkan pelajar untuk cemerlang dalam setiap aspek pembelajaran.