Skip to main content
Home

1,320 Kes Langgar Undang-undang Di Selatan – SPAD

By 30 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad bertanya sesuatu kepada penumpang bas ekspres ketika mengikuti operasi SPAD (kiri). Semasa sidang media (kanan) / Foto: Bernama

 

MELAKA, 30 Dis — Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merekodkan sebanyak 1,320 kes pelanggaran undang-undang melibatkan bas, teksi dan lori bagi wilayah selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dalam tempoh Januari tahun ini hingga semalam.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,040 kes pelanggaran undang-undang direkodkan dalam pemeriksaan di Johor, Melaka (258 kes) dan Negeri Sembilan (22 kes).

“Kesalahan melibatkan lori mencatatkan jumlah tertinggi di tiga negeri berkenaan dengan jumlah 781 kes, bas (310 kes) dan teksi (229 kes). Antara kesalahan yang direkodkan lori melibatkan keselamatan yang bukan sahaja boleh membahayakan pemandu dan kelindan tetapi juga pengguna jalan raya lain.

“Bagi bas pula didapati kesalahan tertinggi ialah gagal memperbaharui permit perjalanan dan dokumen pemeriksaan manakala kesalahan gagal menggunakan meter dan mengenakan caj yang tinggi dikesan dilakukan pemandu teksi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi bersepadu sempena perayaan Krismas oleh Bahagian Penguatkuasa SPAD Wilayah Selatan di sini, malam tadi.

Operasi yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan itu diketuai Ketua Penguatkuasa SPAD Wilayah Selatan Adli Azmi Ahmad.

Mengulas lanjut, Che Hasni berkata sebanyak 25 kesalahan membabitkan kereta sapu dan 21 kesalahan melibatkan kenderaan persendirian turut direkodkan di Johor sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memberi tumpuan terhadap pemeriksaan melibatkan kenderaan perkhidmatan awam seperti bas dan teksi kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam yang menggunakannya.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan berkaitan salah laku pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan boleh menghubungi SPAD di talian hotline 1800-88-7723 atau menerusi khidmat pesanan ringkas ke 15888,” katanya.

Sementara itu, katanya sebanyak 20 pemeriksaan melibatkan bas ekspres dilakukan dalam operasi lebih tiga jam bermula 8.30 malam tadi namun tiada kesalahan direkodkan.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda