Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Agro Nurani,  Skim Perlindungan Takaful Untuk Warga OKU

By 15 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / Foto oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Orang Kelainan Upaya, OKU kini mempunyai alternatif kepada perkhidmatan perbankan dan insurans dengan pengenalan Skim Perlindungan Takaful Agro Nurani oleh Agrobank.

Melalui skim ini, OKU berumur antara 16 hingga 65 tahun ditawarkan pelbagai manfaat menarik dan menyeluruh termasuk perlindungan kemalangan, kematian akibat kemalangan, kematian akibat penyakit biasa dan juga elaun tunai wad (akibat kemalangan) serta perbelanjaan pengkebumian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, inisiatif ini merupakan langkah positif dan amat dialu-alukan oleh Kerajaan .

WhatsApp Image 2017-01-14 at 6.55.39 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika menyampaikan ucapan perasmian semasa Majlis Pelancaran Agro Nurani

“Kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pelbagai syarikat korporat serta institusi perbankan juga sangat penting untuk merealisasikan pelan tindakan ini.

“Inisiatif dari pihak Agrobank ini amat dihargai dan terima kasih juga kepada pihak Bank Negara Malaysia di atas peluang yang diberikan kepada Agrobank untuk melancarkan produk kewangan ini,” ujar Datuk Seri Rohani semasa Majlis Pelancaran Agro Nurani di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pengenalan skim ini juga seiring dengan objektif  Pelan Tindakan OKU 2016 – 2022 yang telah termaktub pada teras Strategik 1, (GOL 3 INCHEON) iaitu meningkatkan aksesibiliti untuk golongan OKU.

WhatsApp Image 2017-01-14 at 6.56.58 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (tiga dari kanan), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (dua dari kiri) menyampaikan Kad Agro Nurani kepada penerima pertama yang juga personaliti televisyen terkemuka tanah air, Personaliti TV Ras Adiba Radzi (berkerusi roda)

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, golongan itu berhak mendapat perlindungan yang sewajarnya.

“Golongan OKU lazimnya kurang mendapat perlindungan insurans atau takaful kerana mereka dianggap sebagai golongan yang berisiko tinggi terhadap sesuatu kemalangan.

“Justeru,  Agrobank telah memperkenalkan satu produk perlindungan takaful yang khusus dan bersesuaian untuk golongan ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan Agrobank turut menyasarkan 15,000 pelanggan untuk produk ini dengan jumlah premium sebulan bernilai RM1.2 juta untuk tahun pertama pelancarannya.

“Terdapat tiga pelan perlindungan yang ditawarkan iaitu Pelan Ehsan RM55 setahun, Pelan Amal RM85 setahun dan Pelan Azim sebanyak RM130 setahun. Produk ini adalah ditawarkan secara tahunan,” ujar beliau lagi.

Pelanggan hanya perlu membayar sekali dalam masa setahun dan kaedah ini dijangka dapat mengurangkan bebanan para pelanggan.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan personaliti televisyen terkemuka tanah air yang juga penerima pertama Kad Agro Nurani, Ras Adiba Radzi.

-MSM

Tinggalkan komen anda