Skip to main content
HomeViral

Dua Remaja Redah Banjir Demi Kucing

By 25 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

BERUAS, 25 Jan — Dua orang remaja sanggup meredah air banjir separas dada mereka bagi menyelamatkan enam ekor kucing yang terperangkap di sebuah rumah di Kampung Padang Serai di sini petang Rabu.

Muhammad Faruq Shabudi, 15, dan Muhammad Shukri Zulkafli, 20, menyelamatkan kucing-kucing berkenaan yang dipercayai terperangkap sejak dua hari lepas apabila tuan mereka berpindah ke pusat pemindahan.

Muhammad Faruq berkata dia dan rakannya pada mulanya terdengar bunyi bising dari rumah tersebut sebelum mendapati beberapa ekor kucing sedang memanjat beranda rumah untuk mengelak daripada air banjir.

“Kami kemudian mengambil keputusan untuk meredah air sejauh 20 meter untuk memasuki kawasan rumah berkenaan sebelum mengambil kesemua kucing-kucing itu  yang berada di atas syiling rumah dan beranda.

“Mereka didapati dalam keadaan lapar dan kesejukan. Mereka kemudiannya dihantar ke pusat pemindahan dan kami berharap mereka akan berjumpa tuan mereka kelak,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Serai.

Seramai 201 mangsa daripada 56 keluarga dari kampung berkenaan dipindahkan ke Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai sejak Isnin lalu.

Sementara itu seorang mangsa, Adila Mohd Ali, 35, berkata banjir di kampung berkenaan merupakan yang terburuk yang pernah berlaku sejak dia mula tinggal di situ kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau berkata keluarganya berpindah ke pusat pemindahan dengan sehelai sepinggang selepas air banjir yang juga deras memasuki rumah mereka tanpa mereka sempat menyelamatkan barangan termasuk pakaian.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun kerana sibuk menyelamatkan kedua-dua anak kami yang masing-masing baru berusia empat dan dua tahun.

“Baju, beg dan buku sekolah anak-anak kami yang lain turut dihanyutkan air banjir,” katanya.

 http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/01/25/redah-banjir-demi-kucing/#kviy8R12LqceEZZC.99

Tinggalkan komen anda