Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Ibu Tunggal Terkejut Isu Pakaian Sekolah Lusuh Anak ‘Viral’

By 5 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan
 Gambar utama: Facebook

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Tersentak hati seorang ibu tunggal tatkala mendapat tahu bahawa foto anaknya yang berpakaian seragam sekolah lusuh di’viral’kan di media sosial facebook di luar pengetahuan dirinya.

Sebelum ini,  sebuah akhbar perdana melaporkan ibu tersebut, Hasnah Daud, 40, tidak pernah menerima apa-apa bantuan.

Justeru, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Mohd Azizan Daud mengambil inisiatif dengan menjemput pihak yang terlibat berserta guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh bersama-sama ibu beranak tiga tersebut untuk menjernihkan keadaan.

dun-mohd-azizan

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Mohd Azizan Daud perjelas keadaan sebenar.

“Sebenarnya dia ini banyak menerima bantuan daripada pelbagai agensi seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Amanah Islam Melaka (MAIM), Persatuan Kontraktor Melaka termasuk pihak sekolah anaknya dari segi yuran, buku dan barang kelengkapan sekolah,” jelas Azizan.

Menurut Azizan lagi, ibu tersebut merupakan seorang pemegang ijazah dan turut mengajar tuisyen namun berpindah ke perumahan baharu di Ayer Keroh selepas menerima pampasan daripada kebakaran rumah lamanya yang terletak di Merlimau, Jasin.

“Pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) juga pernah membantu keluarga tersebut dengan membersihkan kawasan rumah mereka yang tidak begitu terurus kerana dilonggok dengan barangan terpakai seperti tin dan surat khabar yang dikutip mereka,” katanya.

Tambah Azizan, rumah milik Hasnah itu juga hampir dilelong kerana dia tidak mampu untuk membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,300 namun Pusat Zakat Melaka telah bersetuju untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut.

“Beliau telah berpisah dengan bekas suami kira-kira tiga tahun lepas dan mungkin mengalami tekanan hidup menguruskan kehidupan seharian bersama tiga orang anaknya,” ujar Azizan.

Anak sulung Hasnah yang berada di tingkatan lima dikatakan merupakan seorang yang cerdik dan berpotensi dalam pelajaran, namun mengalami kemurungan setelah kisah mereka sekeluarga di’viral’kan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Kita tak tahu apa niat orang yang mem’viral’kan kisah keluarga ini, namun agensi kerajaan merasa tempiasnya walaupun sebenarnya bantuan telah banyak dihulurkan untuk keluarga Hasnah,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh, semalam.

Kata Azizan lagi, Hasnah merupakan seorang yang pemalu dan tidak suka meminta-minta, jadi, dia tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana merasakan dirinya tidak layak.

“Buat masa ini, untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk Hasnah supaya beliau dapat menguruskan semula keluarganya dengan baik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hasnah yang ditemui semalam enggan mengulas lagi berhubung perkara tersebut.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda