Skip to main content
Home

Lapan Individu Panjat Papan Tanda Beri Keterangan Hari Ini

By 2 Januari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

IPOH, 2 Jan — Lapan remaja yang memanjat huruf-huruf besar yang membentuk perkataan ‘IPOH’ di Jalan Kuala Kangsar, di sini tampil memberi keterangan di Balai Polis Kampung Tawas hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mereka yang terbabit iaitu lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun hadir memberi keterangan pada pukul 10 pagi tadi.

“Proses soal siasat individu terbabit masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Sum, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.

Semalam, polis meminta kesemua individu terbabit tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes tersebut.

Rakaman perbuatan mereka itu menjadi viral sejak empat hari lalu yang menunjukkan ada antara mereka berbaring dalam buaian yang dipasang pada kerangka yang menampung huruf-huruf besar pada ketinggian melebihi 20 meter.

 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada pukul 12.45 malam Ahad lepas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda