Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

PBSM Kelantan Perlu Sumbangan Logistik Bantu Mangsa Banjir

By 29 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Mohd Hussin Abdullah (Tumpat)

TUMPAT, 29 Jan (Malaysiaaktif) — Setakat lewat petang semalam keadaan banjir di Kelantan semakin reda dengan hanya dua jajahan masih terjejas, iaitu Kuala Krai dan Tanah Merah.

Jumlah mangsa yang masih berada di tujuh pusat pemindahan menurun kepada 184 orang daripada 44 keluarga setakat pukul 5.00 petang.

Pusat pemindahan di Tanah Merah menempatkan seramai 42 mangsa, manakala 142 orang dari Dabong, Kampung Olak Jeram dan Mengkebang berada di pusat pemindahan Kuala Krai.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri Kelantan menyuarakan keperluan sumbangan daripada pihak swasta bagi menambahkan keupayaan badan tersebut mengendalikan usaha bantuan kepada mangsa banjir.

d9950f68-01d6-411d-9855-458583ac8d8f

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dato Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

 

Menurut Penasihat PBSM Datuk Wan Ali Wan Ahmad, daripada segi logistik PBSM Kelantan pada masa ini hanya menggunakan sebuah lori satu tan, tiga buah ambulans dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Jumlah aset itu tidak mampu membantu memudahkan tugas yang dilakukan oleh lebih 500 orang anggota sukarelawan di seluruh negeri Kelantan.

Wan Ali berkata yang diperlukan termasuk sumbangan kenderaan dan unit dapur mudah alih bagi memudahkan usaha membantu mangsa di kawasan terbabit.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada 61 keluarga yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Tokang di sini semalam.

Usaha pengagihan bantuan turut disertai oleh Anggota Lembaga Penasihat PBSM Kelantan yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi PBSM Kelantan Tuan Ghazali Tuan Long dan Turut hadir Pengarah Penerangan Kelantan Azahar Ismail dan wakii pegawai Polis Daerah Tumpat Inspektor Virrat A/L Kongpet.

Mereka mengetuai satu rombongan seramai 30 sukarelawan bantuan mangsa banjir yang berlepas dari Jeti Kemahkotaan Tumpat pada pukul 10.00 pagi dengan menaiki bot untuk misi pengagihan bantuan dari rumah ke rumah.

Sumbangan yang disampaikan termasuk beras, selimut, bekalan makanan dan wang tunai RM200.

Dalam perkembangan berkaitan, paras air Sungai Kelantan di Dabong, Tualang dan Jambatan Guilemard mencatatkan penurunan daripada paras amaran.

Juga, sehingga lewat semalam laluan dari Gua Musang-Dabong melalui Pulau Setelu masih ditutup kerana Jambatan Pulau Setelu dinaiki air.

Selain itu, turut terjejas lima jalan kampung di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Jalan utama yang lain, termasuk jalan Gua Musang–Kota Bharu, Pasir Puteh-Kota Bharu dan Jeli-Kota Bharu sudah boleh dilalui kenderaan.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda