Skip to main content
Berita TempatanSabah

Peminat Optimis Sabah FA Masuk Liga Super Musim Hadapan

By 17 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

  Laporan dan Foto: Matfazly Mat Kasim (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Jan (Malaysiaktif) – Kerancakan  Liga bola sepak negara bakal bermula tidak lama lagi yang pastinya setiap pasukan mula memperkenalkan para pemain yang bakal mengharungi musim baharu nanti.

Tidak ketinggalan pasukan Sabah FA, walaupun rekod kurang memberangsangkan pada musim lalu dengan memenangi hanya lima daripada 22 perlawanan dengan lima seri dan 13 kalah sekali gus meletakkan Sabah FA di tangga ke sembilan daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana.

Jauh di sudut hati peminat bola sepak Sabah tetap optimis bahawa pasukan Sabah FA pasti mampu bersaing pada Liga Super nanti.

Peminat yang juga merupakan penulis lirik, Anaptasia Joseph, 29, dari Daerah Tambunan berkata oleh sebab minat terhadap pasukan, dia sanggup mengambil cuti untuk datang ke majlis bertemu peminat pasukan Sabah FA hari ini.

1. Anaptasia (tengah) bergambar bersama Stege Vilmiaire (Kiri) dan Pengarah Sukan Sabah FA Adlane Messelem (Kanan) pada majlis tersebut.

Anaptasia (tengah) bergambar bersama Stege Vilmiaire (Kiri) dan Pengarah Sukan Sabah FA Adlane Messelem (Kanan) pada majlis tersebut.

“Saya ambil cuti kerana terlalu teruja untuk bertemu dengan para pemain Sabah FA, memandangkan hari ini ada majlis bertemu peminat dan pelancaran jersi baharu pasukan Sabah FA.

“Saya mula ada perasaan minat dengan pasukan Sabah sejak 2009 apabila Sabah berjaya mengakhiri penantian enam tahun untuk melangkah masuk ke Liga Super setelah menduduki tangga kedua dalam Liga Perdana.

“Situasi waktu itu amat manis. Sejak itu saya sanggup datang ke Stadium untuk menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan Sabah,” ujarnya.

sabahfa4

Antara pemain Sabah FA yang hadir.

Anaptasia turut berharap agar pasukan Sabah akan lebih bersatu untuk memasuki Liga Super pada musim hadapan.

“Perasaan kecewa dengan keputusan yang sering tidak memihak kepada pasukan memang ada namun saya harap tahun ini pasukan akan lebih berjuang untuk memasuki Liga Super tahun hadapan.

“Pasukan perlu lebih bersatu dan sentiasa membaiki kelemahan yang dihadapi. Kalah menang adat pertandingan tetapi semangat berjuang perlu kerana Sabah FA merupakan pasukan kesayangan saya.” ujarnya ketika Majlis Bertemu Peminat dan Pelancaran Jersi Baharu Pasukan Sabah FA di sini semalam.

Sementara itu,  Ahli kelab penyokong Sabah FA, North Borneo Ultras, Saiful Ahmad, 39, berkata North Borneo Ultras ialah kelab penyokong dalam kalangan belia dari seluruh Sabah.

Para peminat yang berkumpul sejak tengah hari, menanti kehadiran para pemain Sabah FA ke majlis tersebut.

Para peminat yang berkumpul sejak tengah hari, menanti kehadiran para pemain Sabah FA ke majlis tersebut.

“Rasa gembira dapat bertemu dengan pemain-pemain Sabah FA dan kehadiran kami ini juga adalah sebagai pembakar semangat serta memberi sokongan padu kepada para pemain.

“Kami tidak meletakkan suatu harapan tinggi, cuma berharap agar para pemain dapat menunjukkan mutu corak permainan yang menarik dan menghiburkan.

Ujarnya lagi, keputusan hasil perlawanan memang banyak mempengaruhi semangat kami, tetapi jika keputusan tidak menyebelahi kami pasrah yang penting semangat juang perlu ditonjolkan.

North Borneo Ultras merupakan satu kumpulan sukarela yang bergerak tanpa ada sebarang penaja dan sanggup menanggung perbelanjaan setiap kali menyaksikan pasukan kesayangan beraksi di tempat lawan.

Terdahulu pada majlis tersebut, Pasukan Sabah FA bagi musim 2017 memperkenalkan tiga tonggak pemain import baharu iaitu Jonathan Behe dan Sofianne Choubane dari Perancis dan Masaya Jotozuno dari Jepun serta turut mengekalkan pemain import musim lalu iaitu Igor Cerina.

Pasukan Sabah FA bagi musim ini turut dibimbing seorang jurulatih baharu iaitu Steve Vilmiaire.

-SF

Tinggalkan komen anda