Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Penjawat Awam Perlu Peka – MB Negeri Sembilan

By 9 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Daniel Jong (Seremban)

SEREMBAN, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Penjawat awam disarankan supaya berhati-hati dan peka semasa menjalankan tugasan rasmi bagi mengelak daripada terjebak dengan salah laku seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Pertama Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

“Kredibiliti kita sebagai penjawat awam semenjak kebelakangan ini dipandang rendah oleh rakyat ekoran beberapa pegawai kanan kerajaan telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melakukan tindakan rasuah.

“Saya berharap anda semua menjadikan ini sebagai pengajaran dan harapan saya supaya perkara ini tidak berlaku dalam kalangan kakitangan awam di Negeri Sembilan,” katanya.

pns1

Katanya, penjawat awam di negeri ini seharusnya tidak hanya duduk di pejabat dan menyediakan perkhidmatan, sebaliknya keluar dari zon selesa dengan menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat khasnya penduduk di luar bandar agar selari dengan hasrat kerajaan negeri iaitu Memakmurkan Rakyat Mensejahterakan Negeri.

Mohamad Hassan turut mengggesa supaya penjawat awam supaya melaksanakan tugasan secara ‘multi tasking’ yang boleh mengurangkan kerenah birokrasi, di samping membantu mengurangkan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

“Pentadbiran kerajaan yang baik adalah penggunaan tenaga kerja yang minimum namun produktivitinya adalah amat maksimum. Itulah yang ingin saya terapkan di perkhidmatan awam di Negeri Sembilan”, katanya lagi.

Tambahnya, semua jabatan dan agensi kerajaan harus mengambil serius terhadap pandangan dan teguran Jabatan Audit Negara kerana boleh menjadi dorongan dan panduan untuk memperbaiki kekurangan serta meningkatkan prestasi jabatan masing-masing.

Pada majlis yang sama, Mohamad Hassan turut menyampaikan insentif bernilai RM15 ribu berserta sijil kepada beberapa jabatan yang mendapat penarafan lima bintang daripada Jabatan Audit Negara. Antaranya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Pendidikan.

pns3

Dalam pada itu, Mohamad Hassan turut memuji pencapaian kerajaan negeri yang mempunyai rizab sebanyak RM 500 juta atas usaha keras kakitangan-kakitangan awam.

Tambah Mohamad Hassan, dia berharap prestasi sedia ada ini akan terus dimantapkan supaya dasar kerajaan negeri dapat dicapai dengan sewajarnya.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

– AH

Tinggalkan komen anda